HLIB kekal saranan 'Jual' VS Industry, pemulihan pendapatan dijangka ambil masa lebih lama

Business & Finance
22 Jul 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLIB kekal saranan 'Jual' VS Industry, pemulihan pendapatan dijangka ambil masa lebih lama Image from: HLIB kekal saranan 'Jual' VS Industry, pemulihan pendapatan dijangka ambil masa lebih lama hamden22/07/2026 - 09:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'jual' terhadap VS Industry Bhd (VSI) dengan harga sasaran 12 sen, berikutan jangkaan pemulihan pendapatan syarikat itu akan mengambil masa lebih lama dalam persekitaran operasi yang masih mencabar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketegangan geopolitik yang kembali memuncak susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, permintaan elektronik pengguna yang masih lemah serta corak perbelanjaan pelanggan yang lebih berhati-hati terus membayangi prospek pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu.

 

Katanya, peningkatan semula konflik AS-Iran menambah satu lagi faktor ketidaktentuan kepada persekitaran operasi yang sememangnya mencabar bagi syarikat EMS yang memberi tumpuan kepada produk elektronik pengguna.

 

"Pada paras semasa, pelabur semakin mencari bukti jelas mengenai pemulihan tempahan yang mampan, khususnya apabila saham VSI diniagakan di bawah nilai aset ketara bersih (NTA) sebanyak 53 sen sesaham," katanya dalam nota penyelidikan.

 

HLIB Research berkata, pemulihan prestasi VSI masih bergantung kepada peningkatan kadar penggunaan kapasiti di operasi syarikat di Malaysia dan Filipina, dengan momentum tempahan yang lebih kukuh diperlukan bagi menyokong peningkatan pendapatan yang lebih bermakna.

 

Bagaimanapun, katanya, persekitaran pasaran elektronik pengguna yang masih lemah dijangka terus memperlahankan kadar pemulihan.

 

Tarif Amerika Syarikat Jejas Sentimen Pengguna

Menurut firma penyelidikan itu, persekitaran operasi keseluruhan kekal mencabar apabila tarif AS terus menjejaskan sentimen pengguna, manakala prospek kadar faedah yang lebih berhati-hati berpotensi menekan lagi perbelanjaan barangan tidak perlu.

 

Selain itu, tekanan inflasi yang berterusan serta ketidaktentuan rantaian bekalan dijangka menyebabkan pemilik jenama utama terus berhati-hati dalam mengisi semula inventori, sekali gus berpotensi melambatkan pemulihan tempahan bagi pengeluar elektronik pengguna.

 

 HLIB Research berkata, Pelanggan X kekal sebagai faktor utama yang menentukan prestasi pendapatan bagi operasi VSI di Malaysia dan Filipina.

 

Katanya, inisiatif penstrukturan semula kos yang dilaksanakan pelanggan itu baru-baru ini telah menjejaskan kadar penggunaan kapasiti operasi pemasangan subkomponen VSI, termasuk perniagaan getah silikon cecair (liquid silicone rubber).

 

"Unjuran kami bagi tahun kewangan 2026 (FY26) menunjukkan VSI akan mencatatkan satu lagi suku kerugian sekitar RM9 juta, berbanding jangkaan konsensus yang mengunjurkan keuntungan bersih RM13 juta serta panduan pengurusan yang menjangkakan potensi pemulihan.

 

"Sementara itu, unjuran kami bagi FY27 kekal 24% lebih rendah daripada jangkaan konsensus," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved