Prestasi AEON dijangka kekal berdaya tahan pada FY2026, TA Research saran 'Beli'

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2026 • 10:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi AEON dijangka kekal berdaya tahan pada FY2026, TA Research saran 'Beli' Image from: Prestasi AEON dijangka kekal berdaya tahan pada FY2026, TA Research saran 'Beli' hamden22/07/2026 - 10:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Julai - AEON Co. (M) Bhd dijangka mencatat prestasi yang terus berdaya tahan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), disokong oleh permintaan pengguna yang lebih kukuh sempena musim perayaan utama, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata,  penambahbaikan campuran produk dan penyewa serta pembukaan AEON Mall KL Midtown bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu kumpulan itu, .

 

Katanya, walaupun kumpulan berdepan peningkatan kos utiliti susulan pelaksanaan surcaj Automatic Fuel Adjustment (AFA) mulai Mei lalu, faktor-faktor tersebut dijangka mampu mengimbangi tekanan terhadap margin keuntungan.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham AEON dengan harga sasaran RM1.42 sesaham, berdasarkan penilaian Dividend Discount Model (DDM).

 

Menurut TA Research, margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi segmen Perkhidmatan Pengurusan Hartanah (PMS) diunjurkan meningkat kepada 41.0% pada FY2026 berbanding 40.9% tahun sebelumnya, manakala margin segmen runcit dijangka bertambah baik kepada 1.0% daripada 0.7%.

 

Prestasi Kukuh

"Prestasi separuh pertama FY2026 dijangka kekal kukuh hasil perbelanjaan pengguna sempena dua musim perayaan utama, selain pengurangan kos operasi berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian berbanding tahun lalu serta kos elektrik yang lebih rendah hasil rebat AFA pada awal tahun.

 

"Bagaimanapun, prestasi pada separuh kedua dijangka kembali sederhana berikutan persekitaran AFA yang kurang menggalakkan dan corak perbelanjaan pengguna yang lazimnya lebih perlahan pada suku ketiga.

 

"Namun begitu, kami percaya kesan tersebut akan diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan hujung tahun, sumbangan awal daripada pembukaan AEON Mall KL Midtown pada suku keempat serta penambahbaikan campuran jualan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Research berkata, pembukaan AEON Mall KL Midtown pada suku keempat 2026 akan menjadi pencapaian penting kepada kumpulan kerana ia merupakan pusat beli-belah gaya hidup premium lapan tingkat pertama AEON di Malaysia, sekali gus memperluaskan model perniagaannya melangkaui konsep gedung serbaneka tradisional.

 

Pusat beli-belah itu dijangka menjadi pusat beli-belah ke-28 milik AEON di negara ini dengan kadar penghunian awal sekitar 75% hingga 80%, disokong penyertaan beberapa penyewa utama seperti Oriental Kopi, Sushiro dan Komehyo.

 

Walaupun sumbangan kewangan daripada projek itu dijangka lebih ketara bermula FY2027, ia dianggarkan menyumbang kira-kira 2% daripada hasil kumpulan pada tahun berkenaan.

 

Sumbangan Wilayah Selatan

Selain itu, AEON terus memperkukuh kedudukannya di wilayah Selatan, khususnya di Johor, yang kini menyumbang 20.1% kepada hasil kumpulan berbanding 14% pada FY2021.

 

Pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi cawangan strategik seperti AEON Permas Jaya, AEON Bukit Indah dan AEON Kulaijaya, selain program naik taraf berterusan di beberapa pusat beli-belah bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan jumlah pengunjung.

 

Firma penyelidikan itu berkata, analisis terhadap cawangan yang selesai dinaik taraf menunjukkan jualan meningkat kira-kira 15% selepas dibuka semula.

 

Dalam jangka panjang, AEON dijangka terus memperluaskan kehadirannya di Johor bagi memanfaatkan pertumbuhan ekonomi negeri itu yang kekal kukuh, sekali gus menyokong permintaan runcit dan perbelanjaan pengguna.

 

Dari sudut penilaian, saham AEON kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sekitar 8.8 kali, hampir dua sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya sebanyak 12.8 kali, sekali gus menjadikan penilaian saham itu masih menarik.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, risiko utama kepada prospek kumpulan termasuk perbelanjaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan, kadar pengambilan penyewa yang perlahan di AEON Mall KL Midtown serta peningkatan kos utiliti.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved