HLIB mulakan liputan ke atas Southern Cable didorong prestasi pendapatan cerah

11/06/2025 - 12:06
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) memulakan liputan ke atas Southern Cable Group Bhd dengan tumpuan utama kepada pretasi kukuh syarikat itu sepanjang dua tahun lepas serta unjuran pendapatan yang cerah.
Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran pendapatan Southern Cable bagi tahun kewangan 2025, 2026 dan 2027 (FY25/FY26/FY27) masing-masing sebanyak 8%, 7% dan 17%.
Katanya, peningkatan ketara dalam unjuran jualan FY27 mencerminkan sumbangan yang dijangka daripada kemudahan pengeluaran syarikat di Lot 21 dan Lot 22.
Pada masa yang sama, HLIB telah memberikan penarafan “beli” dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.69 sesaham daripada RM1.55 sebelum ini, berdasarkan gandaan 18 kali pendapatan sesaham (EPS) FY25 sepenuhnya cair sebanyak 9.4 sen.
Firma penyelidikan itu berkata buku pesanan semasa Southern Cable berjumlah RM1.32 bilion, bersamaan dengan liputan hasil FY24 sebanyak 0.98 kali.
Ini termasuk RM792 juta dalam kontrak jangka panjang dengan syarikat utiliti, manakala selebihnya terdiri daripada pesanan pembelian.
"Permintaan untuk kabel kekal kukuh, dengan kapasiti pengeluaran yang telah diperluas kepada 3,000 km setahun kini hampir sepenuhnya digunakan, seperti yang ditunjukkan oleh kadar penggunaan yang tinggi sebanyak 90% pada 1QFY25.
“Disokong buku pesanan kukuh sebanyak RM1.32 bilion dan tender melebihi RM1 bilion, pihak pengurusan menjangkakan kadar penggunaan yang memberangsangkan ini akan berterusan,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagi jualan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), pihak pengurusan menjangka mengekalkan kadar penghantaran yang serupa pada suku tahun akan datang.
Tempoh ini juga akan menyaksikan peralihan utama daripada kontrak jangka panjang kepada kontrak baharu, yang dijangka menyokong sedikit peningkatan margin hasil daripada harga yang lebih baik.
Dalam sektor swasta, permintaan untuk kabel voltan sederhana dan tinggi kekal kukuh, didorong permintaan daripada projek pusat data dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Bagi segmen solar, kumpulan kini sedang melaksanakan projek di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), dengan permintaan berkaitan solar berskala besar kelima (LSS5) dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com
standard

