MN dijangka kekal momentum pendapatan dipacu buku pesanan RM1.1 bilion, kata Phillip Capital

11/06/2025 - 12:41
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Jun - MN Holdings Bhd dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatan, disokong oleh buku pesanan bernilai RM1.1 bilion dan prospek tender yang memberangsangkan, kata Phillip Capital.
Katanya, syarikat pembinaan infrastruktur tersebut kekal optimis terhadap prospek penambahan projeknya, yang didorong buku tender kukuh berjumlah RM1.9 bilion disumbangkan kerja-kerja berkaitan infrastruktur pusat data yang merangkumi 45% daripada jumlah keseluruhan.
“Kumpulan ini sedang membida empat projek pusat data bernilai RM844 juta, kebanyakannya melibatkan pelanggan baharu. Keputusan tender dijangka diketahui pada separuh kedua tahun ini.
“Buku tender pusat data MN tidak termasuk bidaan di mana syarikat mempunyai hak penolakan pertama dengan seorang pelanggan utama yang berpangkalan di China, yang berpotensi menambah lagi RM300 juta bagi pengembangan masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.
Dalam aspek lain, syarikat perkhidmatan dan rumusan pembinaan utiliti infrastruktur itu terus mendapat manfaat daripada pelaburan berterusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam menaik taraf infrastruktur grid tenaga, dengan tender berkaitan TNB merangkumi 36% daripada buku tender semasa kumpulan.
“Kami mengulangi penarafan "beli" dengan harga sasaran RM1.72 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan sebanyak 18 kali ke atas pendapatan sesaham cair sepenuhnya bagi tahun 2026,” kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com
standard



