HLIB naik taraf saham ViTrox kepada ‘Beli’ selepas prestasi luar jangkaan suku kedua

Business & Finance
31 Jul 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLIB naik taraf saham ViTrox kepada ‘Beli’ selepas prestasi luar jangkaan suku kedua Image from: HLIB naik taraf saham ViTrox kepada ‘Beli’ selepas prestasi luar jangkaan suku kedua hamden31/07/2026 - 11:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menaik taraf penarafan ViTrox Corp Bhd kepada “Beli” daripada “Pegang” selepas pengeluar peralatan semikonduktor itu mencatatkan prestasi kewangan suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) yang lebih baik daripada jangkaan.

 

HLIB turut menaikkan harga sasaran (TP) ViTrox kepada RM9.85 daripada RM8.05 sebelum ini, disokong peningkatan penghantaran produk, kuasa penetapan harga yang lebih baik serta prospek pertumbuhan pendapatan yang semakin positif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras ViTrox bagi 2QFY26 melonjak 40% suku ke suku dan meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM83.3 juta, sekali gus mengatasi unjuran HLIB serta anggaran konsensus pasaran.

 

Prestasi lebih kukuh tersebut didorong oleh penyelesaian kekangan kapasiti yang lebih pantas, membolehkan syarikat memenuhi permintaan pelanggan dan menukar buku pesanan yang kukuh kepada peningkatan penghantaran.

 

“Permintaan terus mengatasi bekalan, mengukuhkan pandangan kami bahawa kapasiti kekal sebagai faktor utama yang mengehadkan pertumbuhan,” kata HLIB dalam nota penyelidikan.

 

Bagi separuh pertama FY26, keuntungan bersih teras ViTrox meningkat lebih dua kali ganda kepada RM143 juta, menyumbang kira-kira 51% daripada unjuran pendapatan penuh tahun HLIB dan 62% daripada anggaran konsensus.

 

Menurut HLIB, keputusan yang mengatasi jangkaan itu disokong peningkatan jualan unit, khususnya bagi peralatan pemeriksaan optik automatik (AOI) dan pemeriksaan sinar-X automatik (AXI), selain peningkatan purata harga jualan (ASP) serta kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi.

 

Momentum pesanan ViTrox turut kekal kukuh apabila nisbah buku kepada bil (book-to-bill ratio) berada pada 1.5 kali pada akhir 2QFY26, walaupun hasil meningkat sebanyak 40% berbanding suku sebelumnya.

 

Pertumbuhan Berterusan 2HFY26

HLIB menjangkakan pertumbuhan ViTrox akan berterusan pada separuh kedua FY26, disokong oleh kitaran perbelanjaan modal (capex) yang semakin berkembang dalam kalangan pelanggan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) global, terutama pemain dari negara Barat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ViTrox berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan pengembangan kapasiti tambahan, peningkatan ASP serta potensi pertambahan bahagian pasaran dalam industri peralatan semikonduktor yang kini berdepan kekangan bekalan.

 

“ViTrox mempunyai peluang untuk meraih manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat, khususnya apabila pelanggan global meningkatkan pelaburan dalam rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor,” katanya.

 

HLIB turut menyorot bahawa prestasi ViTrox mengatasi pesaingnya dari Taiwan, Test Research Inc, dengan hasil syarikat Malaysia itu meningkat 40% suku ke suku, berbanding pertumbuhan 21% yang dicatatkan pesaing tersebut.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangkakan kadar cukai efektif ViTrox akan menurun dalam beberapa suku akan datang apabila bahagian jualan daripada peralatan baharu yang dilindungi di bawah status perintis semakin meningkat.

 

Dengan prospek pertumbuhan yang lebih baik, HLIB berkata ViTrox kekal sebagai penerima manfaat utama daripada kitaran peningkatan permintaan peralatan pemeriksaan semikonduktor global, disokong keupayaan teknologi, buku pesanan yang kukuh serta pelan pengembangan kapasiti syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved