Honda Malaysia lancar pengeluaran City Hatchback baharu di kilang Melaka

LocalCars
6 Oct 2026 • 3:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Honda Malaysia lancar pengeluaran City Hatchback baharu di kilang Melaka Image from: Honda Malaysia lancar pengeluaran City Hatchback baharu di kilang Melaka amree06/10/2026 - 15:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Honda Malaysia terus meningkatkan komitmen terhadap pembuatan tempatan dengan memulakan pengeluaran rasmi City Hatchback baharu di kilang pembuatannya di Melaka, dan membuka laluan kemunculan semula model kompak itu dengan teknologi dipertingkatkan.

 

Majlis pelancaran pengeluaran tersebut disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, yang turut menekankan peranan syarikat automotif itu dalam menggabungkan teknologi serta kepakaran pembuatan Jepun dengan bakat dan keupayaan industri tempatan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, pengeluaran model baharu itu bukan sekadar pengenalan produk, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat itu terhadap kecemerlangan pembuatan, inovasi dan pertumbuhan mampan.

 

"Honda Malaysia terus berusaha menawarkan produk dan perkhidmatan yang memberikan nilai kepada rakyat negara ini, selain menyokong pembangunan industri automotif tempatan menerusi semangat 'Challenging Spirit'," jelas beliau ketika berucap pada majlis tersebut.

 

Honda_DagangNews2026

 

Menurutnya, langkah itu turut meneruskan perjalanan pembuatan tempatan Honda Malaysia bermula pada 2003, dengan syarikat kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pengeluaran bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup pengguna Malaysia yang semakin berkembang.

 

Dalam pada itu, Shikata pula memuji Honda Malaysia kerana berusaha menggabungkan teknologi tinggi Jepun, kepakaran pembuatan dan komitmen positif terhadap kualiti dengan bakat Malaysia, pembekal tempatan serta tahap keupayaan industri domestik.

 

Beliau berkata, komitmen Honda Malaysia terhadap proses penyetempatan adalah amat penting dalam memperkukuh keupayaan tempatan dan meningkatkan pengeluaran domestik menerusi kerjasama rapat dengan ramai pembekal tempatan sendiri.

 

"Kilang Honda Malaysia di Melaka juga terus memainkan peranan penting dalam operasi syarikat serta pembangunan ekosistem automotif negara, dengan Honda Malaysia setakat ini bekerjasama dengan kira-kira 500 pembekal tempatan," tambah beliau.


 

Honda_DagangNews2026
SHIKATA NORIYUKI

 

Ekosistem berkenaan turut disokong tenaga kerja hampir 20,000 kakitangan di seluruh Honda Malaysia, rangkaian pengedar dan rakan pembekalnya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan serta peluang kerjaya yang lebih luas.

 

Dari segi pasaran, City Hatchback yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2021 lalu sudah merekodkan jualan terkumpul lebih 51,000 unit, sekali gus menunjukkan penerimaan secara berterusan terhadap model berkenaan dalam kalangan pengguna tempatan.

 

City Hatchback baharu itu hadir dengan reka bentuk diperbaharui, sistem kesalinghubungan dan teknologi lebih lengkap, selain mengekalkan ciri yang menawarkan susun atur ruang fleksibel, menjadikannya pilihan gaya hidup moden mengutamakan praktikaliti dan fleksibiliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved