
KUALA LANGAT – Syarikat pengeluar elektrik dan elektronik (E&E), Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd. (RSKL) melabur RM700 juta bagi meneroka pengeluaran produk berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Urusannya, Tee Kean Soon berkata, pelaburan itu melibatkan projek baharu yang akan dilaksanakan di kilang syarikat berkenaan di negara ini.
Menurutnya, pihak syarikat sudah mempunyai model produk AI yang sedia untuk memasuki peringkat pengeluaran akhir susulan permintaan daripada rakan niaga sedia ada.
“Kita akan meneroka produk AI dalam tempoh dua tahun akan datang dengan nilai pelaburan sebanyak RM700 juta. Ia merupakan projek baharu yang akan dilaksanakan di kilang kita.
“Kita juga mempunyai kilang di negara lain seperti Jepun dan China, namun produk ini akan dikembangkan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Projek Tempat Letak Kereta Berbumbung Panel Solar yang disempurnakan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Projek panel solar itu membabitkan 325 petak pakir yang boleh menjana 2.4 megawatt sejam seterusnya dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 3,610.4 tan setahun, bersamaan penyerapan karbon kira-kira 172,000 batang pokok matang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Global Operasi Pembuatan Renesas Electronics, Ooi Heng Ee berkata, pihaknya turut mempercepat transformasi operasi menerusi inisiatif kilang pintar yang mengintegrasikan automasi, pendigitalan, AI dan analitik termaju.
Katanya, langkah itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti dan kualiti, malah memperkukuh kelestarian operasi pembuatan syarikat.
“Dalam jangka panjang, kami beraspirasi untuk merealisasikan Light-off Production, iaitu operasi pembuatan berautomasi tinggi yang mampu berfungsi dengan campur tangan manusia yang minimum.
“Ini bagi mengekalkan standard bertaraf dunia dari segi kecekapan, kualiti dan kecemerlangan operasi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Renesas labur RM700 juta teroka produk AI appeared first on Kosmo Online.






