Honda Minta CEO Nissan Letak Jawatan, Hentikan Teknologi e-Power

Business & FinanceCars
20 Feb 2025 • 2:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Cadangan penggabungan antara Nissan dan Honda akhirnya menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan. Honda mengemukakan cadangan untuk menguruskan Nissan sebagai anak syarikatnya, namun Nissan dengan tegas menolak tawaran tersebut.

Menurut laporan tidak rasmi, beberapa syarat yang ditetapkan oleh Honda menjadi penghalang utama, termasuk keperluan untuk Nissan meningkatkan keuntungan tiga kali ganda dalam satu tahun fiskal serta membeli semula saham daripada rakan kongsinya, Renault.

Syarat Utama yang Mencetuskan Perpecahan

Akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun, di bahagian berita bahasa Inggerisnya, The Japan News, mendedahkan satu lagi syarat yang lebih mengejutkan, iaitu Honda dikatakan meminta Nissan menghentikan teknologi e-Power.

image is not availableimage is not available

Teknologi ini merupakan salah satu inovasi penting Nissan dalam segmen elektrifikasi dan telah menerima pelaburan besar dalam pembangunannya. Seperti dijangka, cadangan itu menerima tentangan hebat daripada Nissan, melebarkan lagi jurang antara kedua-dua syarikat.

Walaupun perbincangan penggabungan telah dihentikan, kedua-dua pihak masih terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) di masa hadapan.

Mengapa Honda Mahu Nissan Hentikan e-Power?

Cadangan Honda untuk menghentikan e-Power mungkin berasaskan faktor kos. Jika penggabungan berlaku, perbelanjaan yang besar perlu dikeluarkan untuk membangunkan dua sistem elektrifikasi yang berbeza secara serentak.

image is not availableimage is not availableimage is not available

Namun begitu, perkara ini mustahil untuk dilaksanakan Nissan kerana sebahagian besar produknya, termasuk Nissan Kicks, menggunakan sistem e-Power.

Untuk makluman pembaca, e-Power berbeza daripada hibrid konvensional. Sistem ini menggunakan enjin pembakaran dalaman sebagai penjana untuk mengecas bateri, yang kemudiannya membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Hasilnya, Nissan mendakwa pemanduan kenderaannya menyerupai EV.

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Sebaliknya, teknologi e:HEV Honda masih bergantung kepada enjin pembakaran dalaman untuk menggerakkan kenderaan serta mengecas bateri, seperti yang digunakan dalam model popular seperti CR-V, HR-V dan Civic.

Masa Depan Nissan: CEO dalam Tekanan?

Selain isu teknologi, satu lagi laporan oleh Financial Times mendedahkan bahawa Honda masih terbuka untuk rundingan penggabungan, tetapi dengan syarat Nissan menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Makoto Uchida.

image is not available

CEO Nissan, Makoto Uchida

Malah, Uchida kini dikatakan berdepan tekanan dalaman daripada lembaga pengarahnya, termasuk pemegang saham Renault, susulan kegagalan rundingan ini.

image is not availableimage is not available

Buat masa ini, Nissan masih dalam ‘mod bertahan’ dengan langkah penstrukturan semula termasuk pengurangan pengeluaran dan operasi. Syarikat itu juga sedang mencari rakan strategik baharu untuk mendapatkan suntikan modal yang amat diperlukan.

Antara nama yang disebut ialah gergasi teknologi dari Taiwan, Foxconn. Walaupun syarikat itu lebih berminat kepada kerjasama berbanding pengambilalihan penuh, kemungkinan untuk Nissan dijual juga tidak boleh diketepikan.