Honda perlahan dalam menawarkan kenderaan elektrik berbanding pengeluar lain. Di acara EICMA yang berlangsung minggu lalu, Honda memperlihatkan motosikal elektrik konsep yang menunjukkan masa depan kenderaan dua roda mereka.

EV Fun Concept dan EV Urban Concept ialah dua motosikal elektrik konsep yang menyasarkan dua kategori pengguna berbeza. EV Fun Concept ialah sebuah motosikal yang bersaing secara terus dengan motosikal enjin 650cc. Rekaannya nampak ranggi dan agresif dilengkapi sistem brek cakera di hadapan serta belakang. Tenaga dari motor elektrik dipindahkan ke roda belakang menggunakan sistem tali sawat.

Tiada maklumat mengenai kuasa motor dan kapasiti bateri pada ketika ini. Honda sekadar mengatakan piawaian pengecasan CCS2 akan digunakan bagi membolehkan bateri dicas pantas dan jarak perjalanan sehingga 100 km. Bateri juga dari jenis kekal dan bukan boleh ganti.
EV Urban Concept pula ialah skuter elektrik untuk tunggangan santai dalam bandar. Sekilas pandang ia mirip rekaan BMW CE 04. Setiap motosikal elektrik ini direka untuk dipadankan kepada aplikasi telefon pintar. Pada ketika ini Honda mengatakan EV Fun Concept disasarkan akan mula dijual kepada orang ramai bermula 2025.



