Pos Malaysia Menerima 1092 Motosikal Elektrik Modenas MEV-1 Pro – Akan Ditawarkan Kepada Awam Pada Suku Pertama 2025

TechnologyDigitalCars
12 Nov 2024 • 10:42 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sejak beberapa tahun yang lalu Pos Malaysia telah memulakan agenda kelestarian mereka bagi mencapai sasaran pembebasan sifar menjelang 2050, dengan menggunakan kenderaan elektrik untuk penghantaran jarak pertama dan terakhir sepenuhnya menjelang 2030. Sehingga kini mereka telahpun menggunakan van elektrik dan juga motosikal elektrik. Hari ini mereka mengumumkan penambahan 1,092 motosikal elektrik Modenas MEV-1 Pro untuk mencapai sasaran tahun 2030.

image is not available

Motosikal elektrik Modenas MEV-1 Pro merupakan motosikal kedua dari Modenas yang menyertai barisan kenderaan elektrik, selepas MEV-1. Motosikal MEV 1 Pro hanyalah seberat 80kg, mempunyai kuasa 4.9kW dan 165 Nm tork dengan pacuan di bahagian tayar belakang tanpa sebarang talisawat. Ia mempunyai bateri sebesar 5.4 kWh yang memberikan jarak perjalanan sekitar 95km dengan masa pengecasan AC 0-100% selama 4 jam. 

image is not available

image is not available

Untuk kegunaan Pos Malaysia, Modenas MEV-1 Pro ini telah direka bagi mampu menampung beban kargo sehingga 150kg, dengan berat maksimum yang dapat ditampung bersama posmen adalah seberat 250kg. Malah ia boleh mendaki cerun 19 darjah dan tidak semua motosikal elektrik boleh melakukannya. MEV-Pro ini turut hadir dengan fungsi undur, 3 pilihan kelajuan, suspensi belakang tunggal yang membolehkan tayar ditukar dalam masa 5 minit serta sistem pemantauan berpusat membolehkan Pos Malaysia memantau prestasi posmen.

image is not available

Motosikal Modenas MEV-1 Pro ini akan dihantar secara berperingkat kepada Pos Malaysia, dan Modenas turut menyatakan ia akan ditawarkan kepada pengguna awam seawal suku pertama tahun 2025.