Hong Leong Bank lancar Rumusan Majikan Pendahuluan Gaji bagi pengeluaran sehingga 25% pada bila-bila masa

LocalBusiness & Finance
28 Jun 2023 • 4:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hong Leong Bank lancar Rumusan Majikan Pendahuluan Gaji bagi pengeluaran sehingga 25% pada bila-bila masa

diyana

28/06/2023 - 16:26

KUALA LUMPUR 28 Jun - Hong Leong Bank (HLB) memperkenalkan Rumusan Majikan Pendahuluan Gaji yang membolehkan pekerja mengeluarkan sehingga 25% daripada gaji bulanan mereka yang diperoleh, apabila diperlukan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, HLB berkata perkhidmatan melalui platform digital mudah dan lancar itu membenarkan pengguna untuk memohon gaji pada bila-bila masa tanpa faedah atau caj lewat, kecuali yuran perkhidmatan nominal sebanyak RM2 setiap pengeluaran.

Perkhidmatan ini dilancarkan pada hari ini dengan kerjasama Paywatch Malaysia Sdn Bhd, menjadikannya bank pertama dalam Asia Tenggara untuk menyokong rumusan akses gaji yang diperoleh (Earned Wage Access, EWA).

Rumusan EWA yang inovatif ini bertujuan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan menyediakan akses mudah kepada gaji mereka, serta mengubah cara perniagaan menawarkan dan mengurus pembayaran gaji pendahuluan mereka.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkongsi bahawa rumusan itu bukan sahaja merapatkan jurang dan menangani masalah dalam pendahuluan gaji konvensional semasa, tetapi juga memupuk fleksibiliti kewangan, meningkatkan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan untuk rakyat Malaysia.

“Kenaikan kos sara hidup dan inflasi meningkatkan tekanan kewangan terutamanya golongan berpendapatan rendah hingga sederhana dan isi rumah.

"Dalam keadaan sedemikian, penetapan masa gaji dan kaedah pendahuluan gaji konvensional mungkin tidak dapat memberikan bantuan tepat pada masanya untuk memenuhi aliran tunai dan permintaan yang tidak dijangka, boleh menyebabkan individu terdedah kepada amalan peminjaman yang tidak mampan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, dengan menawarkan akses masa nyata kepada gaji yang diperoleh mereka sendiri, perkhidmatan itu boleh membantu pekerja memanfaatkan gaji mereka yang diperoleh tetapi belum dibayar dan meningkatkan kawalan ke atas kewangan mereka sendiri, mengatasi cabaran kewangan jangka pendek dan pertingkat kesejahteraan kewangan mereka secara keseluruhan.

Bagi meningkatkan lagi kesedaran dan tanggungjawab kewangan, Andrew berkata pengguna juga perlu mempertimbangkan bahawa mereka boleh memenuhi komitmen kewangan akhir bulan sebelum meminta pendahuluan gaji.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Paywatch, Richard Kim menambah bahawa perkhidmatan tersebut telah terbukti mengurangkan kadar pusing ganti dan memberi penjimatan tahunan melebihi RM2.1 juta kepada syarikat untuk yuran pengambilan pekerja semula.

“Paywatch memperkasakan syarikat untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan kewangan pekerja, yang seterusnya memupuk tenaga kerja yang lebih setia dan terlibat,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Rumusan Majikan Pendahuluan Gaji boleh didapati di laman web HLB https://www.hlb.com.my/ms/business-banking/group-sme-banking/salary-advance-employer-solution.html. - DagangNews.com