Honor sedia hadir dengan model premium Porsche Design Edition bagi siri Magic dan kesinambungan ini diteruskan melalui model Magic8. Model tersebut boleh menjadi varian paling premium dalam siri berkenaan dengan kemasan serta penawaran hasil kerjasama bersama syarikat automobil terkemuka itu.

Beberapa gambar yang memaparkan kemasan peranti tersebut turut tular melalui imej di media sosial. Dapat diperhatikan bahawa walaupun logo ‘Porsche Design’ masih dikekalkan, Honor telah menggantikan modul kamera heksagon yang bersegi dengan reka bentuk bulat. Meskipun begitu, bentuknya kelihatan lebih memanjang berbanding bonggol kamera pada model Magic 8 biasa. Ini digabungkan juga dengan ukiran khas bertemakan ‘Porsche Design’ sebagaimana yang terdapat pada beberapa model terdahulu. Antara pilihan warna yang ditawarkan pula ialah kelabu.


Menurut khabar angin, peranti berkemungkinan dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama bateri 7200mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Sebahagian spesifikasinya juga dijangka dikongsi dengan model Magic8 Pro sedia ada. Selain itu, hasil gambar yang diambil menggunakan peranti ini turut mula diperlihatkan sebagai sebahagian daripada kempen jualannya.






