
Honor kini memasuki arena kamera litar tertutup untuk kegunaan di rumah menerusi pelancaran Honor Choice Security Camera semalam. Kamera ini dilengkapi sensor 3MP yang boleh melihat dalam mod warna dan juga mod malam dalam resolusi 2K. Ia boleh berputar 360 darjah bagi membolehkan pemantauan seluruh kawasan rumah dilakukan oleh pemilik.

Antara ciri yang ditawarkan oleh kamera sekuriti ini ialah sistem pengecaman wajah dengan sistem boleh memberikan notifikasi mengesan individu tidak dikenali. Terdapat mikrofon dan speaker membolehkan perhubungan dua hala dilakukan. Mikrofon juga boleh mengesan bunyi aneh seperti anak menangis atau kaca pecah dengan ia kemudian menghantar notifikasi kepada pemilik untuk melihat sama ada ia perlu dipantau.
Sambungan kuasa ialah menerusi kabel USB-C. Sementara itu sokongan rangkaian ialah Wi-Fi 2.4GHz dan juga kabel LAN RJ45. Di Malaysia Honor Choice Security Camera dijual pada harga RM129 sebuah.




