
Honor secara rasmi telah memperkenalkan Magic V6 di Malaysia. Ia merupakan telefon boleh lipat gaya buku generasi terbaru dengan fokus pada ketahanan serta penambahbaikan perkakasan.


Magic V6 hadir dengan paparan dalam berukuran 7.95-inci menggunakan panel LTPO 2.0 AMOLED beresolusi 2,172 × 2,352 piksel serta kadar segar semula 120Hz. Sementara itu, skrin luar berukuran 6.52-inci turut menyokong kadar segar semula 120Hz, resolusi FHD+ dan kecerahan puncak 6,000 nits. Kedua-dua skrin ini bukan sahaja menyokong input stylus malah dilengkapi kamera swafoto 20MP.


Untuk memastikan ketahanan, Honor menggunakan engsel baharu Super Steel Hinge yang diuji sehingga 500,000 kali lipatan sambil mengekalkan rekaan tubuh yang nipis iaitu 8.75mm apabila dilipat dan hanya 4mm apabila dibuka. Selain itu, Honor turut mendakwa kedalaman lipatan berkurang dengan ketara serta menambah lapisan anti-pantulan bagi memberikan penglihatan lebih jelas.


Tunjang utama Magic V6 dikuasai cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama memori 16GB RAM LPDDR5X serta storan 512GB UFS 4.1. Ia juga hadir dengan MagicOS 10 berasaskan Android 16 lengkap dengan kebolehan sambungan merentas platform yang membolehkan notifikasi diselaraskan dua hala dengan iPhone, iPad dan Apple Watch selain perkongsian fail serta sokongan skrin kedua untuk pengguna Mac. Sementara itu, bateri silikon karbon 6660mAh digunakan menyokong pengecasan pantas berwayar 80W dan nirwayar 66W.


Magic V6 turut membawakan sistem tiga kamera yang terdiri daripada 50MP utama dengan sokongan OIS, telefoto periskop 64MP yang menawarkan zum optikal 3x serta ultra lebar 50MP. Lebih menarik lagi, ia menjadi telefon boleh lipat terawal dengan pelindungan IP68/IP69 sekali gus memberikan ketahanan terhadap habuk serta air bertekanan tinggi.


Bagi yang berminat, Honor Magic V6 ditawarkan pada harga bermula RM7,699 untuk model 16GB RAM + 512GB ROM dengan pilihan warna Ferghana Red, Ivory White, Sunrise Gold dan Classic Black. Sementara itu, model lebih besar dengan 16GB RAM + 1TB ROM dijual pada harga RM8,899 dalam pilihan warna Ferghana Red dan Classic Black.


Untuk pra-tempahan sehingga 11 Jun 2026, pembeli turut menerima hadiah percuma berupa televisyen Skyworth 43” Google TV serta 2 tahun perkhidmatan VIP termasuk perlindungan skrin retak.




