Pratempahan awal untuk Honor Magic V6 akan dibuka bermula esok dengan deposit sebanyak RM300. Honor menawarkan hadiah misteri premium bernilai sehingga RM3,797, di samping hadiah eksklusif berupa Honor Magic Pen bernilai RM499. Tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi Honor namun harga jualan penuh masih belum diumumkan.

Ketahanan menjadi salah satu aspek utama pada Honor Magic V6. Dalam demonstrasi baru-baru ini, peranti ini diperlihatkan mampu digunakan sebagai penyambung untuk menarik objek besar seperti kapal terbang dan kereta mewah, menonjolkan kekuatan struktur yang dimiliki. HONOR juga menyatakan bahawa Magic V6 hadir dengan engsel keluli yang dinaik taraf, diuji sehingga 500,000 kali lipatan dan bukaan bagi memastikan ketahanan jangka panjang yang lebih meyakinkan.

Spesifikasi rasmi masih belum didedahkan tetapi model tempatan dijangka menyerupai versi global. Ia berkemungkinan hadir dengan paparan luar 6.52-inci FHD+ dan paparan utama 7.95-inci LTPO 2.0 AMOLED, cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, memori 16GB RAM, storan 512GB, serta bateri 6,600mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 66W. Semua maklumat penuh akan diumumkan pada 4 Jun 2026.



