Produk terakhir yang diperkenalkan oleh Honor pada hari ini ialah tablet MagicPad 2. Ia dilihat premium dengan gabungan tubuh serba nipis bersama kemasan yang menarik. Selain itu perkakasan dalamannya juga cukup berkuasa dengan cip pemprosesan terkini.


Berkongsi lebih lanjut tablet ini menggunakan skrin OLED 12.3″ dengan resolusi 3000 X 1600 piksel dna kadar segar semula 144Hz. Ini digabungkan lagi dengan keupayaan skrin memaparkan kecerahan puncak 1600nits dan mempunyai teknologi 4329Hz PWM Dimming untuk meminimumkan isu kerlipan. Turut disertakan ialah cip Snapdragon 8s Gen 3 yang menjadi tunjang utama peranti. Seterusnya pilihan memori pula sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 1TB.



Sistem operasi terkini MagicOS 8.0.1 berasaskan Android 14 juga disediakan dengan keupayaan pelbagai ciri berasaskan AI. Ia termasuklah Voiceprint Noise Reduction, Cloud AI Big Model dan sokongan untuk penukaran suara-ke-teks secara masa nyata sewaktu digunakan dalam sesi telesidang. Honor juga melengkapkan lagi tablet ini dengan bateri 10,050mAh dan menyokong pengecasan pantas 66W. Selain memuatkan kamera utama 13MP dengan LED Flash dan swafoto sebesar 9MP.


Pelbagai ciri lain yang disokong termasuk tiga mikrofon terbina, lapan pembesar suara IMAX, menyokong input stylus Magic Pencil 3 dan sambungan bluetooth 5.3. Kesemua ciri yang dinyatakan digunakan dalam sebuah tubuh peranti setebal 5.8mm dan berat hanya 555 gram. Tablet ini dijual dengan harga permulaan RMB2999 (~RM1,930), RMB3299 (~RM2,123), RMB3699 (~RM2,380) dan RMB4199 (~RM2,702) di China.

