Honor Robot Phone telah diperlihatkan di MWC 2026 dengan konsep menarik yang pada awalnya ramai beranggapan ia berkemungkinan sekadar peranti konsep yang tidak mungkin dibawa secara nyata.
Tanggapan tersebut ternyata salah apabila Honor mempamernya secara terbuka malah kini mengesahkan bahawa ia akan dilancarkan pada Q3 2026. Ini bermakna pelancarannya boleh berlangsung antara bulan Julai hingga September, sedangkan sebelum ini hanya dinyatakan akan hadir sebelum akhir tahun 2026.

Peranti ini akan menerima peningkatan kamera hasil kerjasama ARRI iaitu jenama kamera profesional terkenal. Teknologi ARRI akan menjanjikan kualiti rakaman setaraf kamera profesional dengan ciri utama termasuk kamera 200MP bersama gimbal terbina, sokongan rakaman “Complex, Stabilized Tracking Shots” serta integrasi ARRI Image Science secara terus ke dalam pengalaman kamera.
Honor turut membawa Robot Phone ke Festival Filem Cannes, di mana pengunjung berpeluang mencuba sendiri peranti tersebut dengan lebih terbuka. Berbanding sebelum ini di CES dan MWC, peranti hanya dipamerkan di belakang kaca dengan jumlah yang minimum menjadikan pengalaman cubaan penggunaan yang juga terhad.




