Honor X70 diumum di China, hadir dengan bateri besar 8,300mAh & kalis air IP69K

TechnologyDigital
17 Jul 2025 • 5:00 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Honor telah memperkenalkan sebuah telefon pintar baharu untuk pasaran China, iaitu Honor X70. Telefon ini berada dalam segmen kelas pertengahan dan menariknya, telefon ini menampilkan kapasiti bateri besar, pengecasan pantas serta rekaan teguh, semuanya dalam tanda harga mampu milik.

Harga Honor X70 di China

Terdapat tiga varian yang ditawarkan untuk Honor X70, dan berikut adalah harganya di China:

  • Honor X70 (8GB+128GB) RMB 1,399 (~RM829)
  • Honor X70 (8GB+256GB) RMB 1,599 (~RM946)
  • Honor X70 (12GB+256GB) RMB 1,799 (~RM1,065)
  • Honor X70 (12GB+512GB) RMB 1,999 (~RM1,183)

Pengguna China boleh dapatkannya dalam empat pilihan warna iaitu merah, hijau, putih dan hitam.

Spesifikasi Honor X70

Macam yang dikatakan awal tadi, Honor X70 adalah sebuah telefon kelas pertengahan. Kuasanya digerakkan oleh cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 4, cip 4nm yang diperkenal Februari tahun ini, dan dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 512B.

Skrinnya jenis AMOLED bersaiz 6.79″ dengan resolusi 1.5K (2640×1200) menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak mencecah 6,000 nits. Badan telefon juga menerima pensijilan SGS untuk ada rekaan tahan lasak, serta diiktiraf dengan penarafan IP66/68/69K bagi tahap kalis air dan debu.

Daripada segi pengimejan, ia peroleh satu kamera di belakang, iaitu kamera utama 50MP f/1.88 dengan OIS, manakala di depan ia menggunakan kamera selfie 8MP f/2.0.

Macam yang anda baca di tajuk, Honor X70 ini hadir dengan bateri besar, berkapasiti 8,300mAh jenis silikon karbon. Untuk pengetahuan anda, kapasiti ini malah lagi besar dari telefon Honor Power yang diumumkan pada April lepas dengan bateri 8,000mAh.

Walaupun begitu, badan Honor X70 masih kekal nipis, hanya 8mm menjadikannya lebih nipis dari telefon lipat ternipis Honor Magic V5 berukuran 8.8mm dalam keadaan terlipat. Sekiranya perlu dicas, Honor X70 menyokong pengecasan pada kadar 80W, termasuk untuk berwayar dan juga wayarles.

Untuk ketersambungan, ia menyokong WiFi 6, Bluetooth 5.2 dan NFC. Sejurus keluar kotak, sistem operasi Magic OS 9.0 berasaskan android 15 akan digunakan pakai.

Sebarang maklumat lanjut boleh anda dapatkan di laman produk Honor X70 China.