
PETALING JAYA: Tidak wajar untuk memaksa Nurul Izzah Anwar menarik semula keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR kerana keputusan itu perlu dihormati.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun keputusan itu memberi kesan kepada PKR namun parti itu mempunyai barisan pemimpin yang berkaliber untuk meneruskan tanggungjawab serta memastikan urusan parti berjalan seperti biasa.
“Parti sudah pasti sedikit sebanyak akan terkesan tetapi kami mempunyai barisan kepemimpinan yang berkaliber untuk menanggung kerja tersebut, dan parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin, saya rasa ia boleh ditangani dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC II) di sini, hari ini.
Amirudin berkata, peletakan jawatan Nurul Izzah itu juga tidak memberi impak besar terhadap pentadbiran kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan eksekutif dalam kerajaan.
“Untuk kerajaan, saya rasa tidak ada begitu kesan sebab beliau tidak mempunyai posisi eksekutif di dalam kerajaan, kementerian.
“Semuanya masih lagi boleh bekerja untuk melaksanakan polisi dalam tempoh sehingga akhir 2027 untuk melengkapkan term Kerajaan Perpaduan ataupun kerajaan gabungan ini,” katanya.
Menurut Amirudin, spekulasi mengenai kemungkinan Nurul Izzah berundur daripada jawatan tersebut telah timbul lama sebelum ini.
“Saya rasa spekulasi sudah timbul lama oleh pemain-pemain politik dan saya dengar-dengar juga.
“Cuma hari itu baru dikemukakan dan beliau juga kena melihat masa dan kita kena hormati sebab tidak guna kita memaksa beliau di saat beliau ada beberapa kekangan yang perlu ditangani secara peribadi,” katanya.
Terdahulu, Khamis lalu, Nurul Izzah mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagaimanapun menolak peletakan jawatan itu. – UTUSAN
The post Hormati keputusan Nurul Izzah lepas jawatan Timbalan Presiden PKR appeared first on Utusan Malaysia.






