MANJUNG – Hospital Seri Manjung tidak mempunyai sebarang kaitan dalam isu pertikaian kerja melibatkan pekerja pembersihan sebuah syarikat konsesi yang tular selepas demonstrasi diadakan di luar pekarangan hospital itu pada 18 Mei lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan berkata, hospital berkenaan bukan majikan kepada pekerja terbabit kerana mereka merupakan kakitangan syarikat konsesi, UEM Edgenta yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengendalikan perkhidmatan sokongan hospital.
Menurutnya, sebarang pertikaian antara pekerja dan majikan sepatutnya diselesaikan secara terus antara syarikat serta Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung tanpa melibatkan hospital.
"Tiada nexus (kaitan langsung) antara hospital dengan kesatuan. Hospital Seri Manjung bukan majikan kepada pekerja tersebut.
"Kalau ada pertikaian, mereka perlu selesaikan dengan syarikat. Jika mahu membuat bantahan sekalipun, sepatutnya ia dilakukan di ibu pejabat syarikat, bukannya di hospital,” katanya pada sidang media di Hospital Seri Manjung pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Muhammad Najib Adnan dan Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr Gridhari Nath Gingaiah.
Sivanesan berkata, aduan berkaitan insiden yang didakwa berlaku pada 27 Mac 2026 telah dibuat oleh pekerja terbabit di balai polis sebelum siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihak syarikat juga telah menjalankan siasatan dalaman dan memaklumkan keputusan kepada kesatuan sebelum demonstrasi tersebut berlangsung.
“Bagaimanapun, kesatuan tetap meneruskan tindakan itu tanpa memohon kebenaran mengikut peruntukan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berkaitan piket.
“Mereka juga tidak membuat notifikasi kepada polis seperti dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Beliau turut mendakwa demonstrasi itu dianjurkan bersama sebuah parti politik dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai cubaan mengelirukan masyarakat seolah-olah hospital bertanggungjawab terhadap isu tersebut.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak mahu insiden sama berulang di mana-mana hospital kerajaan di Perak kerana boleh mengganggu operasi serta perkhidmatan kepada pesakit.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihak hospital telah membuat laporan polis pada 23 Mei lalu bagi menegaskan bahawa pekerja terbabit bukan kakitangannya.
Sebelum ini tular satu rakaman video di media sosial berkaitan piket yang dilakukan kesatuan bersama sebuah parti politik di luar pintu masuk Hospital Seri Manjung.
