“Saya Pelik Kenapa Ada Yang Bantah?” – Anthony Loke Bidas Pihak Bangkang Akses Pelajar UEC Ke IPTA

LocalPolitics
15 May 2026 • 2:47 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Saya Pelik Kenapa Ada Yang Bantah?” – Anthony Loke Bidas Pihak Bangkang Akses Pelajar UEC Ke IPTA

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pengumuman Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan iaitu sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berpeluang untuk menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) nyata mendapat perhatian ramai.

Bukan sahaja ahli akademik malah ahli politik turut tidak bersetuju. Antara yang mempersoal inisiatif tersebut adalah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang berpendapat ia adalah taktik ‘silap mata’ kerajaan untuk mengaburi agenda sebenar.

Malah, Ketua Pemuda PAS Selangor turut menganggap ia hanyalah ‘wayang politik persepsi’ bagi mengurangkan sensitiviti isu membabitkan UEC.

Baca Artikel Berkaitan: Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT

Anthony Loke Pertikai Pihak Persoal Kemasukan Calon UEC Ke IPTA

Terbaharu, Setiausaha Agong Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook membidas tindakan segelintir pihak yang membangkang peluang calon SMPC atau UEC bagi mengikuti program di IPTA.

Jelasnya, peluang tersebut bukan hanya diberikan kepada pelajar UEC tetapi juga terbuka kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz.

“Saya rasa pelik. Mengapa ada pihak yang membantah komitmen kerajaan ini. Mereka membantah orang untuk mendapat akses pendidikan.

“Walhal, kita mahu menambah akses pendidikan supaya dapat mendidik anak-anak ini untuk dapat pendidikan yang lebih baik.

“Sekiranya membangkang, ini menunjukkan mereka menafikan hak anak-anak kita belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Ini adalah komitmen kerajaan seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Pengiktirafan UEC Dipersetujui Kabinet, Tidak Sepatutnya Dipolitikkan – PM

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pengiktirafan kerajaan terhadap UEC tidak sepatutnya dipolitikkan atau dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

Ini kerana keputusan tersebut telahpun dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik. Kenyataan telah dikeluarkan semalam (14 Mei) bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita (kerajaan) turut menerimanya dengan baik,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Masih Ada Perincian Yang Sedang Dibincangkan

Terang Anwar lagi, syarat tersebut bukan hanya terpakai untuk pelajar UEC sahaja namun turut dikenakan kepada pelajar sekolah agama Arab, sekolah menengah, institusi tahfiz dan sekolah antarabangsa yang membabitkan rakyat Malaysia.

Meskipun syarat-syarat tersebut telah diterima namun jelas beliau, masih ada lagi beberapa perincian yang sedang dibincangkan.

GPMS Bantah & Felo KITA UKM Berpendapat Keputusan KPT Perlu Dikaji Semula

Sebelum ini, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak turut membantah inisiatif KPT yang membuka ruang kepada pelajar lepasan sijil tersebut masuk ke IPTA.

Jelas Pengerusi GPMS Perak, Faizal Haramaini, meskipun keputusan KPT itu terhad kepada program pengajian terpilih namun ia dibimbangi menjadi titik permulaan kepada pengiktirafan yang lebih luas pada masa depan.

Malah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong turut berpendapat keputusan KPT untuk membenarkan pelajar lepasan UEC masuk ke IPTA perlu dikaji semula kerana ia dibimbangi boleh menjejaskan dasar nasional.

Baca Artikel Berkaitan: Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT

Baca Artikel Berkaitan: Tak Perlu Iktiraf UEC Selagi Sistem Itu Tidak Harmoni Aspirasi Nasional – Mohamad Hasan