
Penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang tamat semalam, meninggalkan pelbagai kisah dan pengalaman buat peminat perlumbaan sekali gus dapat melonjakkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Limpahan ekonomi yang mengalir masuk ke dalam negara untuk penganjuran acara tersebut dapat dimanfaatkan bersama oleh para pemain dalam bidang hospitaliti khususnya hotel di Lembah Klang.
Kini kehangatan ‘pesta’ itu akan diteruskan pula di negara jiran apabila penganjuran GP Singapura akan berlangsung pada hujung minggu ini bakal memberi impak positif kepada pemain dalam industri perhotelan di Johor termasuk lokasi percutian di Desaru.
Pengurus Besar Kawasan, Anantara Desaru Coast Resort, Herve Duboscq melihat ini adalah peluang terbaik kepada satu-satunya resort di bawah Kumpulan Minor Hotels di Malaysia menerima tetamu juga peminat perlumbaan GP dari seluruh dunia meraikan perlumbaan di dua lokasi berdekatan antara Malaysia dan Singapura.
Lokasinya yang strategik berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan juga Terminal Feri Desaru Coast membolehkan tetamu mengaturkan perjalanan dan percutian.
“Malaysia adalah sebuah destinasi yang sangat istimewa, industri hospitaliti dilimpahi dengan rasa ikhlas dan kemesraan rakyatnya.
“Bila sudah tinggal di sini, barulah saya memahami betapa istimewanya Malaysia,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang ‘pesta’ dan kemeriahan acara perlumbaan GP Bahrain yang berlangsung di SIC dan diikuti dengan GP Singapura seminggu selepas itu, memberi kesan positif kepada industri perhotelan di Desaru?
Herve Duboscq: Ini adalah sesuatu yang menarik dalam tempoh dua minggu ini, industri hospitaliti, perhotelan dan pelancongan yang berkaitan akan menerima kunjungan daripada peminat GP dari seluruh dunia.
Ia satu peluang kepada semua dan kami sebagai salah satu resort yang memiliki jenama yang kukuh di pasaran global mengambil peluang ini sebaiknya.
Kami telah menghebahkan kepada semua pelanggan yang juga peminat GP di semua pejabat dan rangkaian di seluruh dunia.
Penganjuran GP Bahrain di SIC di Malaysia adalah suatu yang istimewa dan sememang kami alu-alukan dan ia bakal memberi pengalaman terbaik kepada semua. Kami tahu peminat GP tidak akan melepaskan peluang untuk berada di dua -dua acara tersebut kerana ia terletak berdekatan.

Apakah persediaan daripada pihak syarikat untuk menyambut tetamu dan peminat GP ke Desaru?
Pastinya kami telah melakukan promosi lebih awal, selain menghebahkan tentang resort kepada semua tetamu yang setia dengan Kumpulan Minor Hotels yang terkenal dengan pelbagai jenama seperti Anantara.
Kami memiliki rangkaian, kumpulan pelanggan yang besar di seluruh dunia. Dan tentulah kami akan menggunakan semua pangkalan data untuk menghubungkan peminat GP di mana sahaja mereka berada untuk berkunjung ke Malaysia dan Singapura.
Bagaimana tempahan yang diterima?
Satu perkembangan yang menarik dan jumlah tempahan yang baik daripada peminat GP dan juga pelanggan kami dari pasaran antarabangsa.
Mereka mahu mencari kelainan untuk berada di resort ini kerana keunikannya tersendiri dan dalam masa yang sama dapat memenuhi minat mereka terhadap GP.
Selain daripada peminat GP, bagaimana pula dengan tempahan daripada pelanggan daripada sektor lain termasuk domestik?
Yang pastinya resort kami sangat unik dan menakjubkan, pastinya ia bukan sahaja dapat memenuhi keperluan percutian peminat GP tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang sukakan percutian lebih privasi, ketenangan dengan kehijauan dan berkonsepkan pantai yang cantik.
Kami juga menerima tempahan daripada tetamu yang datang bercuti secara santai pada hujung minggu dari Malaysia dan juga Singapura.

Bagaimana pula dengan lokasi resort yang agak jauh ini, adakah ia tidak memberi satu cabaran kepada pengunjung?
Bagi peminat GP, mereka memahami perkara tersebut tetapi resort ini menawarkan pengalaman yang mendamaikan dan privasi serta penuh dengan keterujaan dalam aspek kelestarian serta kehijauan.
Tetapi jika diambil kira daripada aspek jarak daripada resort ini dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, ia cuma dalam tempoh sejam sahaja pemanduannya ke sana dan juga premis ini tidak jauh daripada sempadan negara antara Johor dengan Singapura.
Semua kemudahan telah disediakan untuk melengkapi percutian dan pengalaman mereka. Lebih menarik resort ini juga mengambik masa hanya kira-kira lima minit ke terminal feri Desaru Coast yang membolehkan merekan menaiki feri ke Singapura.
Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang perhotelan khususnya di pasaran antarabangsa, boleh berikan pandangan anda tentang industri percutian dan perhotelan di Malaysia?
Ya, saya baru bertugas di Desaru tetapi sudah lama berada dalam industri ini di pasaran Asia. Sebelum ditugaskan di sini, saya berada di Singapura berjiran dengan Malaysia.
Tetapi hospitaliti Malaysia adalah sesuatu yang hebat, saya mudah mempromosikannya kepada pasaran global kerana Malaysia memiliki suatu keunikan yang sangat istimewa. Industri pelancongan di negara ini sudah mendapat tempat dalam kalangan rakyat Singapura, mereka suka berkunjung ke resort ini pada hujung minggu.
Malaysia juga berjaya menarik minat rakyat dari China dan kita boleh lihat daripada pertambahan penerbangan dari Senai ke China. Selain itu, ekoran kesan pergolakan di Timur Tengah, pasaran negara ini juga memberi satu kelebihan untuk menarik minat pelancong dari Asia Barat bercuti.
Kita juga dapat melihat perkembangan baik daripada permintaan tetamu dari Korea yang semakin bertambah kerana di resort ini juga dapat memenuhi keperluan para penggemar golf dari seluruh dunia. -KOSMO! ONLINE
The post Hospitaliti Malaysia sangat unik, istimewa appeared first on Kosmo Online.






