
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mendakwa kumpulan Houthi di Yemen sengaja cuba memacu peningkatan harga tenaga global ketika pilihan raya separuh penggal AS semakin hampir.
Trump turut memberi amaran tegas bahawa beliau ‘tidak akan sesekali melupakan’ siri serangan yang dilancarkan kumpulan itu ke atas Arab Saudi.
Perang saudara di Yemen yang menyaksikan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan Yemen menentang pemberontak Houthi, kembali meletus pada Julai lalu.
Perkembangan ini berlaku beberapa bulan selepas konflik Asia Barat yang lebih luas menggoncang pasaran tenaga antarabangsa dan menjerumuskan rantau berkenaan ke dalam krisis.
Sejak konflik merebak, kumpulan Houthi mula menyasarkan kemudahan pemprosesan minyak, kapal tangki, serta hab pengangkutan utama Arab Saudi.
Ini termasuk serangan maut yang menggegarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh pada hujung minggu lalu.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social semalam, Trump menyelar tindakan kumpulan berkenaan.
“Houthi bertindak dengan sangat buruk, dan kemungkinan besar atas arahan Iran,” kata Trump.
Beliau menambah bahawa tindakan terkini kumpulan itu dilihat ‘sangat jahat, menyerang Arab Saudi, dan sengaja cuba menaikkan harga minyak, berkemungkinan sebelum Pilihan Raya AS’.
Serangan ke atas lapangan terbang Riyadh sebelum ini telah mendedahkan bahawa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk menyertai pakatan Arab Saudi dalam melancarkan serangan balas ke atas kubu Houthi. – AFP
The post Houthi sengaja pacu peningkatan harga tenaga global – Trump appeared first on Kosmo Online.




