
SANAA: Kumpulan Houthi Yemen pada Khamis mendakwa melancarkan serangan dron ke atas sebuah kilang penapisan Aramco di selatan Arab Saudi, lapor agensi berita Saba yang berafiliasi dengan kumpulan itu.
“Sumber ketenteraan mengesahkan bahawa Angkatan Tentera Yemen menyasarkan sebuah kilang penapisan Aramco di wilayah Jizan menggunakan dua dron dan berjaya mengenai sasaran dengan tepat,” lapor Saba, merujuk kepada pasukan Houthi.
Agensi itu melaporkan sumber berkenaan berkata, serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Arab Saudi terhadap ruang udara Yemen dan kedaulatan negara itu di wilayah Saada dan Hajjah.
Sumber itu berkata, Houthi akan memberikan tindak balas tegas terhadap sebarang pelanggaran kedaulatan negara atau sebarang tindakan agresif yang menyasarkan negaranya, menurut Saba.
Gencatan senjata yang telah berlangsung selama beberapa tahun dalam perang saudara Yemen antara Houthi dan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa dilihat runtuh bulan lalu apabila pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dengan Iran tercetus.
Pada Julai, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dengan menyasarkan kapal tangki Saudi di Laut Merah.
Pada Ahad, Houthi yang disokong Iran berkata, mereka telah menyerang sebuah kemudahan minyak di pantai Laut Merah Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap pencerobohan oleh dron dari negara Teluk itu ke barat laut Yemen.
Ancaman Houthi terhadap perkapalan dan kemudahan minyak Arab Saudi berlaku serentak dengan sekatan Iran ke atas Selat Hormuz.
Selat itu kini menjadi titik konflik utama antara Teheran dan Washington ketika usaha menamatkan perang di Asia Barat diteruskan. Perang itu dilancarkan oleh AS bersama Israel pada Februari. – AFP
The post Houthi serang lagi kilang penapisan minyak Aramco di Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.


