DAP syorkan Dr Mahathir kekal PM

Politics
24 Feb 2020 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - DAP berhasrat mengesyorkan Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya malam ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kedudukan berprinsip dan konsisten Dr Mahathir yang menolak sebuah parti yang korup (UMNO) dan harus di sokong semua rakyat.

Menurutnya, DAP juga ingin memuji pegangan berprinsip Dr Mahathir yang menolak untuk bekerja sama dengan UMNO di mana pemimpin mereka terbabit dengan amalan-amalan rasuah dan menjadikan pemerintahan Malaysia sebagai negara kleptokrasi paling teruk.

"Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama Perdana Menteri Malaysia bersedia meletak jawatan di atas prinsip untuk menegakkan integriti dan memerangi amalan rasuah.

"Jadi DAP berhasrat untuk menamakan Tun Dr Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri Malaysia agar PH dapat memenuhi dan menyampaikan manifesto sebagaimana pada Pilihanraya Umum 2018," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tertutup Majlis Tertinggi DAP di ibu pejabat DAP di Jalan Yaw, Pudu hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan DAP dalam kabinet ketika ini apabila PH dikatakan telah kehilangan majoriti selepas Dr Mahathir melepaskan jawatannya dalam parti serta beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat turut bertindak keluar parti, Guan Eng berkata perkara itu masih belum diputuskan kerana semua parti politik sedang melakukan sidang media masing-masing.

"Jadi lebih baik kita tunggu dan lihat selepas parti-parti politik ini mengadakan sidang media mereka sebelum kita membuat sebarang keputusan" katanya.