HRD Corp kukuhkan kerjasama Malaysia-UK dalam pembangunan kemahiran

7 Aug 2025 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HRD Corp kukuhkan kerjasama Malaysia-UK dalam pembangunan kemahiran

image is not available

07/08/2025 - 14:25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) terus memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pembangunan tenaga kerja dan kemahiran menerusi kunjungan rasmi Menteri Kemahiran UK, Baroness Jacqui Smith baru-baru ini.

Kunjungan hormat yang berlangsung pada 31 Julai 2025 di Ibu Pejabat HRD Corp, Bukit Damansara itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma.

Delegasi itu disambut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan.

Abu Huraira berkata, pertemuan dua hala itu membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam latihan kemahiran, pembangunan bakat tempatan dan mobiliti tenaga kerja, selaras dengan keperluan landskap pekerjaan global yang pesat berubah.

“Dalam sesi libat urus berkenaan, pihak UK turut dimaklumkan mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, khususnya dalam penganjuran Tahun Kemahiran ASEAN yang diterajui oleh HRD Corp selaku agensi pelaksana di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

image is not available

image is not available

“Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan kemahiran serantau di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia,” katanya.

Ketika ini, HRD Corp sedang menyelaras tujuh platform utama di bawah AYOS 2025, termasuk penganjuran Global Skills Forum (GSF) pada Oktober ini, dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan disokong oleh Sekretariat ASEAN.

“GSF akan menjadi medan penting untuk perbincangan global berkenaan transformasi kemahiran. Kita amat mengalu-alukan penyertaan rakan antarabangsa seperti UK dalam menjayakannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi menyifatkan pertemuan ini sebagai simbol kesepakatan antara Malaysia dan UK dalam membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan relevan.

“Kerjasama seperti ini penting untuk memacu inovasi, pembangunan bakat dan daya saing dalam ekonomi global yang kian mencabar,” ujarnya. - DagangNews.com

standard