PLUS laksana sistem tol ANPR di laluan Hutan Kampung–Sungai Dua bermula Oktober ini

LocalTechnology
7 Aug 2025 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PLUS laksana sistem tol ANPR di laluan Hutan Kampung–Sungai Dua bermula Oktober ini

image is not available

07/08/2025 - 18:05

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol berasaskan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) bermula Oktober ini melibatkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan.

Projek perintis itu adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) secara menyeluruh yang akan memberi kesan positif kepada pengguna dengan aliran trafik yang lebih lancar dan tanpa henti.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem ANPR itu membolehkan pengguna memilih mana-mana lorong tol sedia ada tanpa perlu berhenti.

“Saya sendiri telah mencuba sistem ANPR ini dan terbukti ia mempercepatkan proses pembayaran tol.

“Ia bukan sahaja lebih mudah dan fleksibel, tetapi juga tidak melibatkan sebarang kos kepada pengguna kerana pendaftarannya adalah percuma,” katanya ketika meninjau projek perintis itu di ibu pejabat PLUS, hari ini.

Sistem ANPR itu beroperasi menggunakan platform digital bersepadu yang menyokong pelbagai mod pembayaran digital dan tanpa tunai, termasuk e-dompet dan kad debit/kredit.

Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat diri, kenderaan dan butiran pembayaran.

Antara ciri tambahan yang ditawarkan secara berperingkat termasuk paparan e-invois, semakan transaksi tol dan perkhidmatan mobiliti lain bagi meningkatkan pengalaman pengguna lebuh raya.

image is not available

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil tinjauan terhadap gantri MLFF yang kini menjalani ujian penilaian teknologi di lebuh raya PLUS meyakinkannya bahawa industri lebuh raya negara berada pada landasan yang tepat dan bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem MLFF secara menyeluruh.

“Saya bangga kerana sistem ini dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan tanpa implikasi kewangan kepada kerajaan. Ini membuktikan industri lebuh raya kita semakin matang, proaktif dan berinovasi,” katanya.

Inisiatif sistem pembayaran terbuka tol ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya termasuk PLUS.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah pengurusan tertinggi KKR, LLM, PLUS serta syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dalam pelaksanaan sistem baharu itu. - DagangNews.com

standard

View Original Article