Seramai 105 majikan daripada pelbagai industri berhimpun menerusi program HRD Corp Pocket Talk: ‘Dari Dasar Ke Majikan’ bagi memperkukuh kerjasama serta merangka hala tuju pembangunan tenaga kerja dan kemahiran di Malaysia.
Platform kepada para majikan fahami dasar serta inisiatif HRD Corp
Program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) itu menjadi platform kepada majikan untuk memahami dasar serta inisiatif HRD Corp, selain berkongsi pandangan mengenai cabaran dan keperluan kemahiran dalam sektor pekerjaan.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz menyatakan pihaknya menyedari tanggungjawab sebagai pemegang amanah kepada caruman levi majikan dan komited memastikan dana berkenaan dimanfaatkan secara bertanggungjawab.
“Sebagai pemegang amanah wang caruman anda, kami amat menyedari tanggungjawab besar yang dipikul dalam menguruskan levi HRD. Komitmen kami adalah untuk memastikan setiap dana yang diamanahkan kepada kami memberikan nilai dan manfaat sebenar melalui latihan yang relevan, berkualiti dan berkesan,” ujarnya.

Foto: Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz menyampaikan ucapan pada program HRD Corp Pocket Talk: ‘Dari Dasar ke Majikan’ – Forum Bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), sambil menegaskan komitmen HRD Corp untuk memperkukuh hubungan dengan majikan serta memajukan pembangunan tenaga kerja negara.
Pembangunan tenaga kerja perlu seiring
Beliau turut mengalu-alukan maklum balas majikan bagi membantu menambah baik dasar, proses dan penyampaian perkhidmatan HRD Corp supaya lebih memenuhi keperluan industri.
Shamir berkata, pembangunan tenaga kerja perlu seiring dengan perubahan teknologi dan permintaan industri, selain memastikan latihan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja serta majikan.
“Usaha merapatkan jurang kemahiran bukan sekadar meningkatkan jumlah program latihan yang ditawarkan. Kita perlu memastikan kemahiran yang dibangunkan benar-benar relevan dengan keperluan industri serta mampu mempersiapkan tenaga kerja untuk menghadapi landskap pekerjaan yang sentiasa berubah,” ujarnya lagi.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus, HRD Corp turut mewajibkan majikan mengemukakan permohonan geran latihan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh latihan.
Setakat ini, lebih 26,000 sesi latihan telah melalui proses pengesahan.
HRD Corp juga sedang menyemak semula Allowable Cost Matrix (ACM) berdasarkan maklum balas majikan, penyedia latihan dan persatuan industri, selain mempergiat Jelajah Jom Bayar Levi (JJBL) menerusi Kempen Pengecualian Faedah Tunggakan Levi yang kini melebihi RM200 juta.

Foto: Wakil HRD Corp, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan majikan yang menyertai program berkumpul untuk sesi fotografi berkumpulan sempena HRD Corp Pocket Talk: ‘Dari Dasar ke Majikan’ – Forum Bersama MEF yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya pada 17 November 2026.
Sementara itu, Presiden MEF, Tuan Haji Nik Mustapha Nik Mohamed berkata, majikan memerlukan sokongan serta kemudahan yang jelas bagi memastikan pembangunan tenaga kerja dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Majikan memerlukan maklumat yang jelas, prosedur yang mudah, bantuan yang tepat pada masanya serta program latihan yang relevan, berpatutan dan mudah diakses,” katanya.

Foto: Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Tuan Haji Nik Mustapha Nik Mohamed menyampaikan ucapan kepada para peserta sempena program HRD Corp Pocket Talk: ‘Dari Dasar ke Majikan’ – Forum Bersama MEF, sambil menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara majikan dan HRD Corp dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja Malaysia.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya melihat latihan sebagai pelaburan strategik untuk masa depan perniagaan, bukannya sekadar memenuhi urusan pentadbiran.
Difahamkan, kerjasama HRD Corp bersama MEF yang mewakili lebih 30,000 majikan dijangka terus memperluas usaha merapatkan jurang kemahiran serta membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, berdaya adaptasi dan berdaya saing.






