johardy28/09/2026 - 17:46 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept - HSS Engineers Berhad (HEB) menerusi syarikat bersekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), menerima surat pelantikan bagi menyediakan perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan penyeliaan tapak untuk kerja menaik taraf loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurut makluman HEB kepada Bursa Malaysia hari ini, pelantikan bernilai RM10.95 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan itu dibuat oleh Sutracom Sdn Bhd, kontraktor utama bagi fasa kedua projek berkenaan.
Skop HSSI merangkumi perundingan kejuruteraan awam dan struktur serta mekanikal dan elektrikal. Syarikat itu turut menyediakan penyeliaan tapak sepenuh masa sepanjang tempoh pembinaan.
Perkhidmatan tersebut bermula hari ini dan mempunyai anggaran tempoh pelaksanaan selama 42 bulan.
"HSSI akan bekerjasama secara eksklusif dengan HSS Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh HEB, untuk melaksanakan tugasan itu," kata syarikat itu.
HEB menjangkakan pelantikan tersebut menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 2030.
Bagaimanapun, pelaksanaan perkhidmatan itu bergantung antara lain pada jadual dan kemajuan projek naik taraf berkenaan.
Susulan projek bekalan air Perak–Pulau Pinang
Pelantikan terbaharu ini menyusul selepas sebuah lagi syarikat bersekutu HEB, SMHB Sdn Bhd, menerima pelantikan perunding reka bentuk bernilai RM34.01 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd pada Julai lalu.
Pelantikan terdahulu itu melibatkan Skim Bekalan Air Utara Perak dan penjualan lebihan air terawat ke Pulau Pinang.
Nilai RM34.01 juta tersebut merujuk kepada perkhidmatan perundingan, manakala RM10.95 juta yang diumumkan hari ini ialah nilai perkhidmatan perundingan dan penyeliaan bagi projek loji kumbahan IWK. - DagangNews.com

