liza21/09/2026 - 15:57 Pulau Redang, Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – Pembinaan projek Loji Rawatan Kumbahan (STP) bagi 31 resort dan chalet di Pulau Redang, Terengganu dianggarkan menelan kos sekitar RM55 juta hingga RM57 juta.
Projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama kerajaan negeri, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perincian projek berkenaan kini berada pada peringkat akhir, manakala sesi libat urus dengan pihak berkaitan dijangka diadakan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Beliau berkata, sekiranya semuanya berjalan seperti dirancang, projek itu akan dilaksanakan melalui dua fasa bagi menangani masalah sistem kumbahan di Pulau Redang yang berlarutan sejak sekian lama.
“Fasa pertama dibuat oleh kerajaan negeri dengan kos sekitar RM5 juta hingga RM7 juta untuk tujuh resort, manakala fasa kedua sekitar RM50 juta akan dilaksanakan untuk 31 resort dan chalet bersama SPAN dan IWK,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke sesi perbincangan penyelesaian isu pengurusan sisa, kumbahan dan alam sekitar Pulau Redang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Fasa pertama libatkan tujuh resort
Razali berkata, bagi fasa pertama, kerajaan negeri akan membina sendiri STP dengan kos dianggarkan antara RM5 juta hingga RM7 juta untuk kegunaan tujuh resort di Pantai Panjang.
Katanya, pihak resort turut bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian berkaitan pelaksanaan sistem tersebut.
“Apabila STP siap, pihak resort akan menyalurkan efluen ke sistem berkenaan dan membuat bayaran, manakala aspek penyelenggaraan serta pengoperasian STP akan diamanahkan kepada LAUT.
“Kerajaan negeri bagaimanapun tidak akan menggunakan kaedah pertukaran tanah dengan pengusaha resort bagi melaksanakan projek pembetungan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat cadangan untuk melaksanakan projek bernilai RM5 juta menerusi pertukaran sebidang tanah di Pulau Redang, namun cadangan itu ditolak oleh kerajaan negeri.
Empat lokasi snorkeling dan selam ditutup sementara
Razali berkata, beliau menyambut baik komitmen yang diberikan IWK dan SPAN bagi membantu menyelesaikan isu kelestarian alam sekitar di Pulau Redang.
Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju menutup sementara empat kawasan aktiviti snorkeling dan selam skuba di pulau berkenaan bagi membolehkan kerja pemulihan serta pengurusan kawasan terumbu dilaksanakan.
Empat lokasi terbabit ialah Pasir Akar, Paku Besar, Ekor Tebu dan Pulau Lima, dengan semua aktiviti snorkeling dan selam skuba di kawasan berkenaan ditutup buat sementara waktu.
Menurut Razali, langkah susulan termasuk pemasangan boya yang sesuai bagi menandakan kawasan terbabit selain libat urus lanjut bersama Jabatan Perikanan dan pihak pengurusan Taman Laut. - DagangNews.com

