HSS Engineers raih kontrak RM68.5 juta sebagai perunding utama pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang

Business & Finance
4 Sep 2023 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HSS Engineers raih kontrak RM68.5 juta sebagai perunding utama pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang

azan

04/09/2023 - 14:29

KUALA LUMPUR 4 Sept - HSS Engineers Berhad menerusi syarikat bersekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd berjaya meraih kontrak bernilai RM68.5 juta daripada Malaysia Airports Sdn Bhd, untuk menjadi perunding utama (jurutera awam dan struktur) bagi pelan induk pembangunan semula lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau Lapangan Terbang Subang.

Pada Jun lalu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diberi lampu hijau untuk membangunkan semula lapangan terbang itu di bawah Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP).

"Jumlah kontrak itu ialah 7.1% daripada jumlah kos kerja bagi kontrak itu iaitu RM965 juta, termasuk 6% cukai jualan dan perkhidmatan.

"Tempoh kontrak adalah selama lima tahun bermula 29 Ogos 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan HSS Engineering bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2028.

Terdahulu, MAHB telah mengemukakan pelan strategik dan komprehensif bagi pembangunan jangka panjang LTSAAS.

Pelan pembangunan semula itu telah disahkan menerusi penanda aras yang luas dan penglibatan pihak berkepentingan berdasarkan tiga bidang utama iaitu ekosistem aeroangkasa, penerbangan perniagaan dan lapangan terbang komuniti bandar.

Pembangunan itu bertujuan mendorong LTSAAS untuk menjadi hab penerbangan aeroangkasa dan perniagaan pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com