Untung bersih HSS Engineers melonjak 36% kepada RM5.3 juta dalam 2QFY23 dipacu kontrak projek MRT3
diyana
16/08/2023 - 18:00
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Keuntungan bersih HSS Engineers Berhad bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) melonjak 36% kepada RM5.3 juta berbanding RM3.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, terutamanya didorong kontrak perkhidmatan perundingan pengurusan projek bagi Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan yang berakhir 30 Jun 2023 itu turut mencatat peningkatan 29% kepada RM48.9 juta daripada RM37.9 juta setahun sebelumnya.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu menokok kepada 1.07 sen daripada 0.79 sen sebelumnya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, HSS Engineers berkata pertumbuhan tersebut telah didorong oleh kemajuan segmen reka bentuk kejuruteraan dan perunding pengurusan projek bagi projek infrastruktur berimpak tinggi negara.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), keuntungan bersih kumpulan meningkat 48% kepada RM9.5 juta berbanding RM6.4 juta sebelumnya, sementara pendapatannya melonjak 27.5% kepada RM94.7 juta daripada RM74.3 juta setahun lalu.
Menurut kumpulan itu, jumlah buku pesanan belum dibil setakat 30 Jun 2023 adalah RM1.41 bilion, yang mana 75% daripadanya disumbangkan oleh segmen perunding pengurusan projek, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh lapan tahun akan datang.
Jelasnya, ini terutamanya didorong pelantikan usaha sama HSS Engineers (dibentuk oleh HSS Integrated Sdn Bhd dan HSS Engineering Sdn Bhd) oleh MRT Lingkaran Sdn Bhd untuk melaksanakan peranan perunding pengurusan projek bagi MRT3 Laluan Lingkaran.
Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata kumpulan itu sedang giat membuat tender untuk projek bernilai RM415 juta bagi kerja rel, jalan raya dan air, ketika ia sedang bersedia untuk memulakan perniagaan keempat bagi mewujudkan aliran pendapatan berulang.
“Rekod prestasi kukuh HSS Engineers sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan perundingan pengurusan projek untuk sektor-sektor penting ini sejajar dengan pembangunan Malaysia dalam beberapa dekad yang lalu, memberi petanda baik untuk kami memainkan semula peranan mempercepatkan kadar kemajuan negara.
“Di luar ruang infrastruktur, kami juga berbesar hati dapat mengorak langkah besar dalam mewujudkan aliran pendapatan berulang menegak keempat kami, kerana konsortium kami baru-baru ini telah menerima anugerah daripada Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan Loji PV Solar 29.99 Megawatt di Kuala Muda, Kedah.
“Setelah mempelbagaikan skop sektor kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami kini mula mempelbagaikan sumber pendapatan bagi mengukuhkan kemampanan kumpulan untuk jangka panjang,” tambahnya.
Saham HSS Engineers ditutup tidak berubah pada 58 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM287.7 juta. - DagangNews.com

