Huawei baru sahaja melancarkan Band 11 dan Band 11 Pro di Malaysia. Meskipun kedua-duanya kelihatan hampir sama dari segi rekaan, terdapat beberapa perbezaan penting yang membezakan versi Pro dengan model biasa.


Dari segi paparan, kedua-dua model menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.62″ sesuai untuk pergelangan tangan antara 130 hingga 210 mm. Namun begitu, Band 11 Pro menawarkan resolusi lebih tinggi dengan paparan yang lebih tajam mencapai 2000 nits berbanding versi biasa yang hanya 1500 nits.



Untuk warna dan material, Band 11 Pro menggunakan kerangka aloi aluminium dengan pilihan warna Green, Blue dan Black. Sementara itu, Band 11 pula hadir dengan pilihan warna Beige, Green dan White yang menggunakan kerangka aloi aluminium serta pilihan Purple dan Black dengan bahan polymer tahan lama.



Kedua-dua model turut menawarkan fungsi kesihatan dan kecergasan yang pelbagai seperti Emotional Wellbeing 2.0, Heart Health, Sleep Health, Running Ability, Recovery Heart Rate, Daytime HRV, SpO2 serta penjejakan aktiviti harian dan lain-lain. Ia juga dilengkapi dengan sensor IMU 9-axis yang terdiri daripada sensor accelerometer, sensor gyroscope dan sensor magnetometer.



Namun begitu, model Pro hadir dengan kelebihan tambahan seperti outdoor GNSS positioning untuk penjejakan lokasi lebih tepat, Auto Detect Workout yang boleh mengenal pasti aktiviti senaman secara automatik serta Wrist-Based Running Posture untuk memantau gaya larian pengguna.



Huawei Band 11 dan Band 11 Pro hadir dengan bateri yang mampu bertahan sehingga 8 hari untuk penggunaan normal dan sehingga 14 hari bagi penggunaan biasa. Kedua-duanya juga mempunyai ketahanan air dengan piawaian 5ATM sesuai digunakan untuk aktiviti harian termasuk berenang.

Selain itu, kedua-duanya menyokong fungsi remote shutter untuk kawalan kamera, termasuk aplikasi pihak ketiga, serta integrasi ekosistem melalui HarmonyOS 6 apabila digunakan bersama telefon pintar Huawei. Pengguna juga mendapat akses kepada ciri tambahan seperti kompas, kalender, dan paparan notifikasi yang lebih menarik.


Menariknya, kedua-dua model ini turut menyokong pembayaran Touch ‘n Go. Di Malaysia, harga rasmi bermula pada RM189 untuk Band 11 manakala Band 11 Pro ditawarkan pada RM269.
Lebih menguntungkan apabila terdapatnya harga promosi terhad iaitu serendah RM149 bagi Band 11 dan RM229 bagi Band 11 Pro.



