Huawei MatePad Air (2026) ialah tablet terkini daripada Huawei yang baru sahaja diumumkan. Ia bukan sekadar peranti hiburan, tetapi digambarkan sebagai sebuah tablet pintar dengan keupayaan produktiviti bertaraf PC.

Huawei turut menekankan beberapa perubahan reka bentuk pada MatePad Air (2026) INI termasuk bezel yang lebih kecil, tubuh yang nipis iaitu 5.3 mm, serta pilihan warna baharu. Perubahan lain yang ketara ialah penggunaan Paparan PaperMatte OLED, yang sebelum ini hanya terdapat pada siri premium MatePad Pro. Bagaimanapun, skrin masih berukuran 12 inci dengan kadar segar semula 144 Hz.

Turut melengkapinya ialah stylus M‑Pencil Pro dengan fungsi transkripsi suara, kemas kini nota automatik, serta kawalan seperti air mouse mode untuk pembentangan. Ia juga menyokong ekosistem WPS Office AI (Word, PPT, Excel) untuk menjana draf, pembentangan, dan analisis data. Sistem audio pula hadir dengan enam pembesar suara berbentuk crossover bagi memberikan pengalaman bunyi yang lebih imersif.

Ia turut dibekalkan dengan bateri berkapasiti 10,100 mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Bahagian kamera pula terdiri daripada kamera hadapan 12MP untuk panggilan video manakala di belakang terdapat kamera 50MP. Harga jualan adalah bermula €849 (RM 3,943) dan Huawei menyatakan ia bakal tiba di Malaysia pada tarikh yang akan diumumkan kelak.




