
Huawei bakal memperkenalkan tablet baharu MatePad Mini untuk pasaran Malaysia. Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum didedahkan secara terbuka namun semakan kami melalui laman web rasmi mendapati tempahan awal telah dibuka dengan deposit sebanyak RM100.

Selain itu, perincian lain yang dikongsikan termasuk pengumuman pelancaran pada 21 April 2026, tawaran baucar awal bernilai RM200, serta hadiah percuma bernilai sehingga RM1,814. Hadiah ini merangkumi aksesori tambahan seperti HUAWEI M-Pencil Pro dan Folio Cover.
Spesifikasi penuh Huawei MatePad Mini turut disenaraikan. Tablet ini hadir dengan edisi Papermatte Edition bersama pilihan warna Spruce Green lalu dipadankan dengan paparan 8.8 inci Flexible OLED PaperMatte Display. Rekaannya yang nipis dan ringan pula menjadikannya serasi dengan penjenamaan mini.

Selain itu, pilihan memori merangkumi memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB namun maklumat mengenai cip pemprosesan masih belum didedahkan. Seterusnya, kamera utama terdiri daripada 50MP dan 8MP ultra-lebar/makro manakala kamera swafoto pula sebesar 32MP.
Turut disediakan ialah bateri berkapasiti 6400mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Di samping itu, terdapat ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti AI Handwriting Enhancement dan AI Equation Recognition yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih pintar serta mesra pembelajaran.

