Huawei Perkenalkan AI Lab & Innovation Centre Di TRX – Ruang Solusi Terkini Huawei Dalam Transformasi Digital

LocalTechnology
27 Apr 2026 • 9:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Huawei hari ini mengadakan pelancaran rasmi untuk AI Lab & Innovation Centre di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

image is not available
image is not available

Pusat baharu yang berkeluasan 13,638 kaki persegi ini bakal menjadi hab utama Huawei bagi rantau Asia Pasifik. Ia bukan sekadar ruang untuk mempamerkan solusi atau penyelesaian terkini dalam transformasi digital dan tenaga, tetapi juga berperanan menggalakkan kerjasama lebih luas antara Huawei, rakan industri, penyelidik dan institusi pendidikan. Pada masa yang sama, pusat ini membuka peluang untuk melatih lebih ramai bakat AI tempatan sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi negara dan rantau.

image is not available

Menurut wakil daripada Huawei, pelancaran ini merupakan pusat pertama seumpamanya di luar China dan bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 Huawei di Malaysia. Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat pembangunan industri AI, ruang solusi dan demonstrasi bagi rantau Asia Pasifik, serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau menjelang tahun 2030.

image is not available

Huawei juga memaklumkan bahawa syarikat kini mempunyai lebih 4,000 pekerja di Malaysia dengan 80 peratus tenaga kerja terdiri daripada rakyat tempatan. Selain itu, Huawei telah melatih lebih 70,000 bakat ICT melalui program akademik, bekerjasama dengan lebih 1,000 syarikat tempatan dan kini meliputi 97% populasi Malaysia. Syarikat ini turut menegaskan komitmen terhadap penggunaan tenaga mesra alam, pengangkutan hijau serta kesihatan digital termasuk kajian berkaitan diabetes melalui Huawei Watch Fit 5 Pro yang dijadualkan untuk dilancarkan tidak lama lagi.

image is not available

Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menyampaikan penghargaan terhadap sumbangan Huawei sepanjang 25 tahun berada di Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kecerdasan buatan (AI) ialah teknologi penting yang mampu mengubah cara ekonomi berfungsi, sistem kewangan dan cara manusia berfikir. Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa AI boleh mendatangkan risiko jika tidak diurus dengan baik termasuk isu keselamatan siber dan kesan terhadap nilai kemanusiaan.

image is not available

Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia telah menubuhkan Pejabat Nasional AI, yang membangunkan kerangka tadbir urus, memperkukuh perlindungan data, serta memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan dan usaha mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar. Menurut beliau, transformasi digital perlu memberi manfaat kepada semua bukan hanya keuntungan semata-mata.

Beliau turut menekankan kepada generasi muda bahawa dunia moden akan menuntut banyak perkara daripada mereka. Katanya, teknologi AI membuka peluang besar tetapi pada masa yang sama membawa cabaran moral dan sosial. Oleh itu, kebijaksanaan manusia tetap penting untuk memastikan teknologi digunakan secara seimbang dan memberi manfaat kepada semua.

image is not available

Majlis hari ini turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Haji Shamsul Azri Abu Bakar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved