Huawei Pocket 2 akan dilancar secara rasmi 22 Februari

Digital
21 Feb 2024 • 9:46 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Huawei Pocket 2 akan membuat kemunculan pertamanya di pasaran China  Tarikh pelancaran telefon pintar lipat itu telah diumumkan secara rasmi, namun masih banyak maklumat mengenainya tidak didedahkan.

image is not available

Menurut hantaran yang dibuat di Weibo, peranti Huawei Pocket 2 akan dilancarkan pada 22 Februari 2024, pada pukul 2:30 petang waktu Malaysia. 

Spesifikasi Huawei Pocket 2

Berdasarkan spekulasi, Huawei Pocket 2 dijangka mempunyai reka bentuk yang sama seperti P50 Pocket dan Pocket S. Ini bermakna ia akan mempunyai dua modul bulat pada bahagian belakang; untuk tiga kameranya dan paparan sekunder.

image is not available
Huawei P50 Pocket

Model-model telefon pintar Pocket yang terdahulu tidak menyokong sambungan 5G. Namun dengan cip Kirin 9000S, dijangkakan Pocket 2 akan menawarkan sambungan 5G. Peranti ini dijangkakan akan datang dalam pilihan RAM sehingga 12GB bersama storan sehingga 512GB.

image is not available
Huawei P50 Pocket

Untuk spesifikasi model P50 Pocket, ia dikuasakan cip Snapdragon 888 dengan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 512GB. Apabila dibuka penuh, skrin OLED HD Penuh P50 Pocket berukuran 6.94-inci dengan kadar penyegaran sehingga 120Hz.

Pocket 2 dijangka akan hadir dalam pilihan tiga warna iaitu putih, hitam dan ungu. Ura-ura juga mengatakan bahawa varian ungu mungkin akan menampilkan reka bentuk kulit, manakala dua pilihan warna lain dengan ciri kaca pada bahagian belakang (glass back).

Dari segi spesifikasi, Pocket 2 dikatakan akan dilengkapi bateri berkapasiti 4,520mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Malah ia dikatakan telefon lipat clamshell dengan bateri terbesar, betul ke?

image is not available
Huawei P50 Pocket

Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy Z Flip 5 menawarkan bateri berkapasiti 3,700mAh, manakala Oppo N3 Flip pula 4,300mAh. Bateri untuk Techno Phantom V Flip pula berkapasiti 4,000mAh. Malah ZTE Libero Flip yang akan dilancarkan di Jepun pada 29 Februari nanti pun hanya menawarkan bateri berkapasiti 4,310mAh. Bateri P50 Pocket pun hanya 4,000mAh.

Bagaimana pula dengan harganya? Sebagai rujukan, P50 Pocket yang dilancarkan pada Januari 2022 berharga RM5,999 untuk RAM 8GB + storan 256GB. Jadi anggaran harga untuk Pocket 2 pastinya tidak lari jauh daripada julat harga tersebut.

Sama ada betul atau tidak khabar angin mengenai spesifikasi Huawei Pocket 2 ini, kena tunggulah pelancarannya nanti.

[Sumber: Huawei]

Bacaan berkaitan: