
Kota Kinabalu: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pendekatan secara rundingan dan kerjasama yang membina lebih berkesan berbanding konfrontasi dalam memajukan pembangunan Sabah.
“Kita perlu mempunyai hubungan yang sangat baik. Kita perlu berada dalam keadaan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya sambil merujuk kepada manfaat nyata hasil Perjanjian Kerjasama Komersial dengan Petronas, termasuk pegangan 25 peratus dalam projek Sabah Ammonia Urea (Samur) dan 50 peratus dalam Samarang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kerjasama PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta pendekatan kolaboratifnya dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. Joachim menegaskan masih wujud jurang pembangunan ketara antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya dalam bidang pendidikan dan infrastruktur kesihatan.
“Ketika sekolah-sekolah di Semenanjung dibina dengan struktur konkrit dan mempunyai akses jalan raya yang baik, Sabah masih mempunyai sekolah daif, malah ada murid yang perlu berjalan lebih lima kilometer untuk sampai ke sekolah.
“Jadi, jika kita terus menekankan soal autonomi sahaja... ya, saya bersetuju denga anda, Sabah sepatutnya diterajui oleh rakyat Sabah. Tetapi kini, Sabah memang diterajui oleh rakyat Sabah.
“Tetapi pada masa sama, kita juga perlu ingat bahawa kita tidak boleh menghina atau mengecam apabila kita meminta bantuan daripada pemimpin Persekutuan dan kemudian dilabel sebagai pengkhianat.
“Lebih baik kita berunding. Lebih baik kita mempunyai hubungan yang baik... kita mahu menjadi rakan yang baik atau sekurang-kurangnya ada jambatan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita berurusan dengan mereka secara beradab seperti mana yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah kerajaan.
“PBS kekal komited terhadap prinsip asas penubuhannya sambil menyesuaikan strateginya bagi mencapai hasil yang lebih baik untuk rakyat Sabah melalui kerjasama, bukannya konfrontasi,” katanya.
Joachim turut menyatakan keyakinannya bahawa PBS akan mempertahankan tujuh kerusi yang disandang ketika ini sambil berhasrat untuk menambah beberapa kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
“Kami akan bertanding di tujuh kerusi sedia ada dan akan menambah kerusi lain yang sesuai nanti,” katanya sambil menegaskan bahawa PBS tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kubu kuatnya.
“Perbincangan pembahagian kerusi dengan rakan-rakan dalam GRS masih berjalan, dengan gabungan memberi keutamaan kepada calon yang berpotensi menang di semua kawasan yang ditandingi.
“PBS telah mengenal pasti calon-calon berpotensi termasuk tujuh penyandang yang akan dikekalkan.
“Siapa yang paling berpotensi untuk menang, dialah yang kemungkinan besar akan diketengahkan,” katanya.
Tujuh kerusi yang dipegang oleh parti itu ialah Kundasang, Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan dan Telupid.
Berhubung lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) STAR yang tidak mengikut keputusan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan untuk bergerak secara solo, Joachim berkata GRS berharap untuk menampilkan mereka sebagai calon di bawah keahlian langsung GRS.
“Keutamaan adalah menampilkan mereka sebagai ahli terus GRS. Tetapi kami juga berharap mereka akan menyertai PBS,” katanya.
Mengenai pendirian PBS pada 2025 yang membezakannya daripada parti-parti lain yang bersaing untuk undi rakyat Sabah, beliau berkata misi teras parti itu kekal tidak berubah walaupun beberapa tokoh penting telah meninggalkan parti sepanjang tahun termasuk Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Wilfred Bumburing, Datuk Seri Yong Teck Lee dan mendiang Tan Sri Joseph Kurup.
“Perjuangan kami masih kekal. Kami masih mempunyai ahli di seluruh Sabah. Di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri, kami masih mempunyai ahli,” katanya sambil menyebut Bengkoka sebagai kisah kejayaan, di mana keahlian meningkat daripada 3,000 kepada lebih 10,000 orang dengan cawangan aktif berkembang daripada 15 kepada lebih 100.
Tegasnya perjuangan berterusan parti itu dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah, kesamarataan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil menyatakan bahawa PBS merupakan antara parti asal yang memperjuangkan isu-isu berkenaan.




