
Kundasang: Peningkatan kutipan hasil negeri ke tahap tertinggi merupakan bukti integriti dan keberkesanan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata hasil negeri yang mencecah RM5.49 bilion pada 2021, RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024 jelas menunjukkan dasar pentadbiran di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi negeri.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka kosong ia membuktikan kerajaan GRS yang memerintah mempunyai asas yang kukuh dalam pentadbiran.
“Peningkatan hasil ini diterjemahkan kepada pelbagai manfaat untuk rakyat,” katanya ketika berucap sempena Pesta Kobis di Pentas Budaya Kundasang.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata hasil tersebut membolehkan kerajaan melaksanakan inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), pemberian Bantuan Tunai Sabah sebanyak RM300 sebulan serta bantuan sekali bayar RM5,000 kepada 643 penjaja tepi jalan.
Katanya sektor minyak dan gas turut menyumbang besar melalui penubuhan SMJ Energy Sdn Bhd yang melonjakkan pendapatan negeri daripada RM50 juta kepada RM5.1 bilion di samping mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
Selain itu pelaburan strategik daripada syarikat gergasi antarabangsa – Kibing Solar, SK Nexilis dan Esteel Enterprise juga membuka ribuan peluang pekerjaan untuk belia tempatan sekali gus mengukuhkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang itu menambah kejayaan pembangunan ini hanya dapat dicapai hasil kestabilan politik yang dikekalkan oleh GRS serta kesungguhan kerajaan menyelesaikan masalah asas rakyat.
“GRS telah membuktikan ia sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berfokus kepada kepentingan rakyat. Jika diberi mandat kita akan pastikan kejayaan ini berterusan,” tegasnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tusin atas kesudian memeriahkan Pesta Kobis.
Turut hadir Menteri Kewangan Negeri merangkap Adun Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin dan Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam.


