Hubungan Rossi–Marc: Dari Hormat, Menjadi Retak, Hingga Kekal Dingin (2013 – 2025)

29 Nov 2025 • 3:37 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Hubungan di antara Valentino Rossi dan Marc Marquez pernah bermula dengan penuh rasa hormat. Ketika Marc tiba di MotoGP pada 2013 dan terus muncul sebagai juara dunia, Rossi memuji bakat luar biasa pelumba Sepanyol itu, malah melihatnya sebagai pelapis generasi baharu yang bakal menggegarkan era baru kelas perdana MotoGP.

Namun perjalanan antara dua ikon ini berubah secara dramatik pada 2015. Musim itu menyaksikan beberapa insiden panas seperti pergeseran di Argentina, aksi “grass pass” di Assen dan kemuncaknya, pertembungan di Sepang yang menjadi salah satu detik paling kontroversi dalam sejarah MotoGP moden. Tuduhan, sindiran dan tekanan media memuncak, menyebabkan hubungan mereka pecah tanpa dapat dipulihkan.

Sejak itu, keduanya memasuki fasa “perang dingin”. Pada 2016, 2017 dan 2018, hubungan mereka kekal renggang. Usaha Marc untuk berjabat tangan di Argentina 2018 ditolak Rossi, menandakan luka lama masih belum sembuh. Untuk beberapa musim berikutnya, mereka kekal profesional tetapi kekal jauh walaupun berkongsi litar yang sama, tanpa sebarang sapaan.

Walau begitu, terdapat satu detik yang sedikit menghangatkan suasana, dimana pada 2019, selepas Marc meraih gelaran dunia, Rossi memberikan ucapan tahniah secara terbuka dan mengakui kehebatan Marc. Namun momen positif itu tidak cukup untuk mengubah hubungan jangka panjang mereka.

Apabila memasuki era 2020 hingga 2024, hubungan mereka terus statik, tidak bermusuhan secara terbuka, tetapi jelas tidak mesra. Marc pernah menyatakan bahawa hubungan itu “bergantung kepada dua pihak”, sementara Rossi pula menegaskan ia “akan kekal seperti sedia ada”.

Tahun 2025 menjadi bab penting yang mengesahkan jarak antara mereka. Selepas Marc membuat ‘comeback’ menakjubkan dan menjuarai MotoGP sekali lagi, hampir semua tokoh dunia MotoGP tampil memberi ucapan tahniah, namun Rossi memilih untuk berdiam diri. Malah dalam satu wawancara, ketika diminta menyenaraikan pesaing terbesarnya sepanjang karier, Rossi tidak menyebut nama Marc langsung. Media Itali menggambarkan keputusan itu sebagai “diam yang banyak memberi tanda tanya”.

Hari ini, hubungan Rossi dan Marc kekal sebagai salah satu kisah rival paling kompleks dalam sejarah sukan permotoran. Ia bermula dengan penghormatan, bertukar menjadi konflik dan akhirnya menjadi jurang yang seolah-olah mustahil ditutup. Dua legenda, dua era, satu cerita yang terus mewarnai sejarah MotoGP, walaupun tanpa kata maaf atau ucap tahniah yang lengkap dari kedua-duanya.

Teruskan bersama Two Wheels..!

📷 MotoGP

The post Hubungan Rossi–Marc: Dari Hormat, Menjadi Retak, Hingga Kekal Dingin (2013 – 2025) appeared first on TW Media.