Hujan berterusan tahap buruk, waspada diramal landa Pantai Timur dan Sabah hingga Rabu

LocalEnvironment
9 Nov 2026 • 11:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hujan berterusan tahap buruk, waspada diramal landa Pantai Timur dan Sabah hingga Rabu
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada membabitkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah hingga Rabu ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada membabitkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah hingga Rabu ini.

Ketua Pengarah Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara hingga Rabu yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.

Menerusi kenyataan yang dikemas kini setakat 8.30 pagi ini, Mohd Hisham berkata amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan lima jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Amaran sama turut melibatkan hampir keseluruhan daerah di Terengganu merangkumi Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu serta Kuala Nerus.

Pada masa sama, amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan bagi empat jajahan di Kelantan iaitu Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli, selain Hulu Terengganu, Terengganu.

Keadaan sama diramal turut melibatkan Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut di Pahang selain Kudat, Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan di Sabah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan talian 1-300-22-1638. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved