
JAKARTA – Indonesia mengerahkan lebih 60,000 anggota dan 48 helikopter serta pesawat untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin luas di Sumatera dan Kalimantan, lapor laman berita Jakarta Globe semalam.
Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, langkah itu dibuat susulan masalah jerebu yang semakin buruk sehingga mencetuskan perbincangan diplomatik dengan Malaysia.
Arrmanatha berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi menjelaskan usaha memadamkan kebakaran oleh Indonesia termasuk operasi pengeboman air serta pembenihan awan.
“Saya sudah bercakap dengan Menteri Luar Malaysia dan menjelaskan langkah-langkah diambil Indonesia termasuk mengerahkan lebih 60,000 anggota serta 48 helikopter dan pesawat untuk operasi pengeboman air dan pembenihan awan,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.
Perbualan itu dilakukan susulan panggilan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Prabowo Subianto minggu lalu berhubung jerebu yang merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan Singapura.
Arrmanatha berkata, kebakaran hutan itu kekal menjadi cabaran utama, terutamanya ketika cuaca kering menyebabkan operasi memadamkan api lebih sukar.
“Kami berharap keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi kerana hujan dijangka turun,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghubungi Prabowo untuk membincangkan situasi yang semakin memburuk dan menuntut langkah sewajarnya bagi menangani jerebu rentas sempadan.
“Masalah jerebu berada pada tahap membimbangkan dan saya secara peribadi telah menghubungi Presiden Prabowo. Beliau bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu,” tambahnya tanpa memberikan butiran lanjut.
Beliau turut mengarahkan Menteri Luar untuk berhubung dengan Sekretariat ASEAN bagi menyelaras mesyuarat menteri alam sekitar negara-negara anggota. – AGENSI
The post ‘Hujan dijangka turun, kami telah kerah lebih 60,000 petugas tangani jerebu’ appeared first on Kosmo Online.


