Hujan lebat cetus tanah runtuh

4 Jan 2023 • 4:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Selepas hanya 30 minit hujan lebat, tanah runtuh dilaporkan berlaku di banyak bahagian daerah ini sehingga merosakkan puluhan rumah, tadika, jambatan dan surau.

Antara kampung yang terjejas ialah Kg Mohimboyon, Kg Lembah Permai, Kg Kinasaraban Kundasang dan Jalan Kinasaraban Bundu Tuhan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, jambatan yang runtuh separa di Kg Mohimboyon merupakan laluan utama penduduk kampung itu.

“Kejadian itu berlaku berikutan air sungai yang deras, memerlukan pasukan BBP melakukan pemeriksaan segera di kawasan itu dan sekitarnya untuk keselamatan.

“Selepas melakukan penilaian keselamatan di tapak, pasukan meletakkan penghadang bagi menghalang laluan jambatan supaya penduduk tempatan tidak dapat melaluinya,” katanya.

Berhubung kejadian tanah runtuh yang menutup jalan utama dan menghakis tanah kawasan sebuah rumah di Kg Kinasaraban, Ridwan berkata pihaknya telah melakukan pemantauan di tapak berkenaan.

“Agensi lain turut terlibat dalam pemantauan. Tiada kecederaan melibatkan penduduk kampung atau orang awam setakat ini.

“Keadaan di kawasan yang diketahui telah dapat dikawal.

“Pihak bomba hanya memberi khidmat nasihat supaya berhati-hati dengan kawasan cerun berbahaya, terutama pada musim hujan ini,” katanya.

Seorang penduduk Kg Kinasaraban, Hanson berkata ini bukan kali pertama tanah runtuh berlaku.

“Perkara sama berlaku kurang dua bulan lalu, tetapi kali ini hujan lebat turun selama 20 minit sahaja dan menyebabkan tanah runtuh lebih teruk.

“Beribu-ribu batu kecil dan besar dibawa bersama lumpur dari lereng bukit oleh air deras.

“Batu-batu besar menghalang laluan untuk semua kenderaan berat dan kecil, dan rumah kami dipenuhi batu dan lumpur tebal,” katanya.

Hanson berkata, dia dan penduduk kampung lain cuba menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan BBP tetapi mereka hanya datang membuat pemantauan.

“Justeru, kami terpaksa mengalihkan bongkah batu besar dengan sendiri tanpa bantuan mana-mana jentera.

“Kami mengangkat semua batu dan mengorek parit tersumbat dengan batu dan lumpur bagi membolehkan air mengalir dan memastikan jalan boleh diakses.

“Mujur hujan reda sekali gus mengurangkan aliran air deras yang turun dari bukit,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.