
Hujan Lebat Di Tujuh Negeri Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir melibatkan tujuh negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi muat naik di laman Facebook jabatan berkenaan, keadaan cuaca itu akan melanda negeri Kedah iaitu di daerah Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Beralih ke negeri Perak, ia hanya melibatkan daerah Hulu Perak.
Di Terengganu pula, hanya tiga daerah yang terlibat iaitu di Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, di Pahang, Met Malaysia menjangkakan hujan lebat berlaku di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Terus ke selatan, cuaca buruk dijangka berlaku di Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi.
Beralih pula ke Kepulauan Borneo, keadaan cuaca hujan lebat akan berlaku di Kuching, Serian, Samarahan dan Bintulu (Tatau) di Sarawak.
Manakala di Sabah pula ia melibatkan daerah Pedalaman (Tenom dan Nabawan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan berkenaan.
Amaran angin kencang dan laut bergelora
Terdahulu, Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora membabitkan dua kategori di kawasan perairan sekitar Phuket dan Palawan. Fenomena cuaca ini dijangka berlaku bermula Sabtu, 28 Jun 2025 sehingga Rabu, 2 Julai 2025.
Bagi kategori kedua, angin barat berkelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter diramal melanda kawasan perairan utara Phuket.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” jelas Met Malaysia.
Sementara itu, kategori pertama melibatkan kawasan perairan selatan Phuket, utara Reef North dan Palawan yang dijangka mengalami angin barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam. Ombak di kawasan ini boleh mencapai ketinggian 3.5 meter dan berisiko terhadap bot kecil, aktiviti rekreasi laut serta sukan air.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar. Elak berada di lokasi berisiko.
The post Hujan Lebat Di Tujuh Negeri Malam Ini appeared first on Siakap Keli.





