Hujan Lebat Diramal Landa 7 Negeri, 2 Wilayah Petang Ini

13 Dec 2024 • 1:37 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hujan Lebat Diramal Landa 7 Negeri, 2 Wilayah Petang Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang meliputi tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga jam 3 petang ini.

Menerusi muat naik di laman Facebook itu, amaran tersebut terpakai bagi seluruh negeri Melaka, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.

Di Perak, hanya daerah Hilir Perak dijangka alami hujan lebat dan ribut petir. Manakala di Pahang, hampir seluruh kawasan di selatan negeri bakal terima hujan lebat. Daerah yang tersenarai merupakan Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Keadaan di Selangor menunjukkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang bakal hujan lebat. Manakala di Negeri Sembilan, hanya tiga daerah dijangka hujan lebat iaitu Seremban, Port Dickson dan Rembau.

Beralih ke Sarawak, hujan lebat dan ribut petir dijangka landa daerah Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang. Begitu juga di Sabah, hanya daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar) dijangka hujan lebat.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan ramalan cuaca signifikan yang berpotensi menyebabkan berlaku hujan lebat berterusan.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, luruan monsun dijangka bermula pada 16 hingga 20 Disember 2024. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di utara & timur Semenanjung, selatan & barat Sarawak serta timur Sabah dalam tempoh berkenaan,” tambah MetMalaysia.

Dalam muat naik yang lain, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada yang melibatkan empat negeri bermula 16 hingga 19 Disember nanti. Seluruh negeri Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami cuaca hujan berterusan. Begitu juga dengan Hulu Perak di Perak. Selain itu, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang turut dijangka alami cuaca tersebut.

Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihat agar jauhi kawasan berisiko serta amalkan langkah-langkah keselamatan ketika menghadapi cuaca buruk.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) (1) (2) (3)