
RANAU: Pendaki Gunung Kinabalu menghadapi pengalaman mencemaskan awal Khamis, apabila hujan lebat luar biasa mencetuskan aliran air deras seperti sungai di sepanjang laluan pendakian, sekali gus mengundang risiko besar.
Puluhan pendaki dilaporkan terkandas sementara waktu, manakala yang lain terpaksa meredah arus kuat yang mengalir turun dari gunung.
Pendaki yang memulakan pendakian dari Panalaban dihentikan di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat apabila hujan lebat tidak menunjukkan tanda reda.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Menjelang sekitar jam 3.30 pagi, kebanyakan pendaki memilih untuk berpatah balik dari Sayat-Sayat setelah cuaca tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Bagi pendaki yang sudahpun sampai ke puncak dan dalam perjalanan turun, mereka tiba dengan selamat di rumah rehat Laban Rata sekitar jam 6 pagi.
Beberapa pendaki berkongsi pengalaman mendebarkan itu di media sosial, dengan video tular menunjukkan malim gunung mengarahkan pendaki agar terus bergerak tanpa berhenti walaupun terpaksa meredah arus deras.
Pendaki juga diingatkan supaya sentiasa berpaut pada tali keselamatan dan bertenang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Rantey Fred berkata, tiada insiden tidak diingini dilaporkan setakat ini.
Beliau sekali lagi mengingatkan pendaki agar menilai tahap kesihatan secara serius sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
“Semua pendaki mesti sentiasa berwaspada, terutamanya ketika menuruni kawasan berbatu yang licin di puncak,” katanya.
Menurut Rantey, walaupun keadaan di Ranau masih terkawal, pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan susulan cuaca berangin dan hujan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
“Setakat ini tiada aduan serius diterima daripada orang awam berkaitan keadaan angin kencang dan hujan. Hanya insiden kecil seperti dahan pokok patah dilaporkan. Tiada kes pokok tumbang atau bumbung rumah diterbangkan angin,” katanya.
Namun begitu, beliau tetap menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan dan mengehadkan aktiviti luar buat sementara waktu, serta memastikan kanak-kanak kecil diawasi apabila berada di luar rumah.
Beliau turut menggesa orang ramai agar segera melaporkan sebarang situasi berbahaya di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa.
“Mereka boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau menghubungi terus Balai Bomba Ranau di 088-878779,” katanya.



