
Detik Cemas Pendaki Ketika Hujan Lebat Di Gunung Kinabalu
Aktiviti mendaki bukit dan gunung bukan sekadar sukan lasak, tetapi juga menjadi terapi jiwa yang menenangkan.
Lebih menggembirakan, apabila pendaki disajikan dengan pemandangan alam yang indah di puncak gunung, membuatkan segala penat lelah seperti hilang.
Disebabkan itu, aktiviti ini menjadi salah satu sukan lasak yang digemari ramai khususnya sewaktu hujung minggu.
Bagaimanapun, cabaran dalam mendaki gunung ini bukan sahaja melihat kepada bentuk geografinya yang mencabar. Malah faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting.
Sekiranya cuaca yang ekstrem seperti hujan dan angin kencang menjadikan aktiviti ini berisiko tinggi dan berbahaya.
Hujan lebat Akibatkan Laluan Pendakian Dinaiki Air
Begitulah keadaan yang dialami oleh para pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu pagi tadi selepas terpaksa berdepan detik cemas meredah arus deras di laluan gunung itu susulan hujan lebat.
Menerusi perkongsian video di Facebook Mount Kinabalu, memaparkan sekumpulan pendaki terpaksa meredah laluan berkenaan dengan menggunakan tali sebagai tempat berpaut.
“Hujan lebat melanda Gunung Kinabalu pagi ini, menyebabkan aliran air deras di sepanjang laluan pendakian.
“Jika anda mengalami cuaca seperti ini semasa pendakian, kekal tenang dan sentiasa ikut arahan jurupandu (malim gunung) anda,” kongsi hantaran itu.
https://www.facebook.com/reel/727755163362705
@angkol_nazz beginila keadaan dia tas gunung Kinabalu jika hujan lebat gais…hujan berlaku semasa pendaki berada Di puncak Kinabalu pagi ini…hati2 semua…sebab ni la Di larang Sama sekali mendaki jika berlaku hujan lebat..semoga Di permudahkan semua pendaki Dan malim gunung #kreditvideo malim gunung #sayatsayat #gunungkinabalu #hujanlebat
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan kebimbangan terhadap para pendaki susulan terpaksa mengharungi detik-detik mencemaskan. Sebahagian mereka turut mendoakan kesemua pendaki turun dengan selamat.
“Semoga semua pendaki dan guide selamat turun. Adui kuat angin air pun deras semoga baik-baik saja kamu semua,” komen seorang pengguna.
“Semoga dipermudah urusan kamu semua, nasib baik dulu mendaki gunung tahun 1985..tidak sesukar seperti ini,” kongsi seorang lagi.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berlaku di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat) sehingga jam 10:00 pagi ini.
Sumber: Facebook Mount Kinabalu
The post Detik Cemas Pendaki Ketika Hujan Lebat Di Gunung Kinabalu appeared first on Siakap Keli.




