“Hujan Lebat Pun Kami Pergi…” – Kisah Bengkel Bantu Pakcik Cina & Anak OKU Undang Sebak

17 Feb 2026 • 8:18 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dalam dunia yang makin laju dan sibuk dengan hal masing-masing, masih ada insan yang memilih untuk berhenti seketika, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana rasa tanggungjawab dan belas ihsan. Ketika ramai orang sedang bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga, ada yang sanggup berpanas berhujan demi memastikan orang lain selamat sampai ke destinasi.

Itulah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @asg_autoservice, baru-baru ini apabila memaparkan kisah kemanusiaan yang berlaku pada hari cuti umum.

Menerusi hantaran tersebut, pemilik akaun berkenaan berkongsi detik menyentuh hati apabila menyedari salah seorang stafnya mundar-mandir dalam hujan lebat.

“Harini saya perasan staff mundar-mandir dalam hujan. Saya tanya, ‘Pergi mana hujan-hujan ni?’ Dia jawab, ‘Ada kereta breakdown depan tu je.’”

Walaupun hujan turun dengan lebat, staf berkenaan tetap berkeras mahu membantu.

“Saya kesian tengok pakcik tu… Cina, pakai baju tradisional. Nak pergi beraya kot. Dalam kereta ada anak OKU. Sebab tu hujan pun saya pergi juga,” katanya perlahan.

Menurut pemilik bengkel itu, saat mendengar jawapan tersebut membuatkan dirinya sebak sehingga “mengalir air mata jantan”.

Tolak Kereta Masuk Bengkel

Mereka kemudian bersama-sama menolak kenderaan berkenaan masuk ke bengkel untuk diperiksa. Setelah membuat pemeriksaan satu persatu, didapati punca kerosakan adalah pada bahagian fuel pump.

“Alhamdulillah. Asbab kami buka walaupun cuti umum, dapat bantu orang yang betul-betul perlukan pertolongan,” tulisnya lagi.

Apa yang lebih menyentuh hati, beliau menegaskan bantuan diberikan tanpa mengira bangsa atau warna kulit.

“Tak kira bangsa. Tak kira warna kulit. Inilah Malaysia.”

Dalam nada penuh makna, beliau turut menyatakan:

“Mereka beraya, kita bekerja. Sebab dalam bidang servis, kadang tanggungjawab tu lebih besar dari sekadar cari rezeki.”

Netizen Turut Kongsi Pengalaman Sama

Perkongsian tersebut turut dibanjiri komen netizen yang berkongsi pengalaman serupa.

Seorang pengguna menceritakan bagaimana keluarganya pernah berdepan situasi tayar pancit pada pagi raya. Walaupun bengkel ketika itu sebenarnya tidak beroperasi, seorang tokeh bengkel berbangsa Cina yang sudah berusia tetap datang membantu.

“Tak bukak actually, tapi kebetulan tokeh, uncle Chinese dah tua pun, datang bengkel sekejap. Dia tolong buatkan jugak,” tulisnya.

Kisah-kisah seperti ini sekali lagi membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan semangat saling membantu masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

Dalam dunia yang semakin sibuk mengejar keuntungan, kisah kecil seperti ini mengingatkan bahawa tanggungjawab dan ihsan kadangkala jauh lebih besar daripada sekadar mencari rezeki. – The Malaysian Update

The post “Hujan Lebat Pun Kami Pergi…” – Kisah Bengkel Bantu Pakcik Cina & Anak OKU Undang Sebak appeared first on The Malaysian Update.