Hujan Lebat, Ribut Petir Landa 9 Negeri Hingga Malam Ini – MetMalaysia

LocalEnvironment
12 Sep 2024 • 5:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hujan Lebat, Ribut Petir Landa 9 Negeri Hingga Malam Ini – MetMalaysia

Sebanyak sembilan negeri diramal bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 9 malam ini.

Menurut MetMalaysia, ramalan tersebut berdasarkan tanda-tanda ribut petir dan intensiti hujan yang dijangka lebih sejam.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.

Menerusi amaran tersebut, ribut petir dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis, manakala di Kedah, hanya daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan dan Pendang dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat. Di Perak pula, hanya tiga daerah dijangka bakal terkesan iaitu Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.

Di sebelah pantai timur, ribut petir di Kelantan hanya melibatkan daerah Kuala Krai dan di Terengganu hanya melibatkan daerah Dungun dan Kemaman. Manakala di Pahang pula, daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin dijangka bakal mengalami ribut petir dan hujan lebat.

Melihat di sebelah selatan negara, ribut petir dan hujan lebat hanya melibatkan daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor. Amaran ini turut terpakai bagi warga di lima daerah Negeri Sembilan, iaitu Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol.

Dalam masa yang sama, ribut dan hujan lebat juga dijangka bakal berlaku di Samarahan (Simunjan), Sri Aman (Sri Aman) dan Betong bagi Sarawak.

Terdahulu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. Amaran tersebut berkuatkuasa bermula 13 September (esok) hingga 18 September 2024.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah dari 13 hingga 18 September 2024.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut serta angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara,” katanya.