Hujan lebat sebabkan banjir kilat di kampung tengah Bukit Semanggol

18 Sep 2022 • 3:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Hujan lebat selama beberapa jam awal pagi tadi menyebabkan kawasan Kampung Tengah Bukit Semanggol di Bagan Serai dilanda banjir kilat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan berkata seramai 12 penduduk daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Semanggol pada 12 tengah hari tadi berikutan kediaman mereka terjejas akibat dinaiki air.

“Seramai 16 petugas dari pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ditempatkan di PPS berkenaan bagi pemantauan,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata seramai lapan anggotanya terlibat dalam operasi bagi bantuan membersihkan rumah dan sekolah yang dilanda banjir.

“Bomba menyediakan peralatan seperti pam untuk membuang air dari dalam rumah penduduk dan membantu kerja membersihkan asrama dan sebahagian Sekolah Menengah Agama Ma’had Al-Ehya’ Asshariff yang turut terjejas,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata paras air yang mula naik setinggi kurang semeter pada kira-kira pukul 3 pagi itu sudah surut, namun pihak bomba sentiasa berjaga-jaga kerana cuaca mendung di daerah Kerian ketika ini. - Bernama